TENOM, 5 September 2025 – Gelombang sokongan terhadap Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) semakin kuat di Tenom apabila Cawangan Kg Nanapokan dilancarkan dengan penyertaan seramai 53 ahli baharu, terdiri daripada golongan muda dan wanita.
Cawangan baharu itu diketuai Radin Amat, sekali gus memperkukuh kedudukan UPKO di kawasan Melalap menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).
Ketua UPKO Melalap, Junik Bajit, dalam ucapannya menegaskan bahawa sambutan hangat masyarakat Kg Nanapokan membuktikan keyakinan rakyat terhadap perjuangan politik UPKO di Tenom.
“Kemasukan 53 ahli baharu ini memberi isyarat jelas bahawa rakyat Kg Nanapokan percaya dengan perjuangan kita. UPKO akan terus dekat dengan rakyat, mendengar suara mereka, dan memperjuangkan isu setempat dengan konsisten,” katanya.
Majlis pelancaran turut disusuli dengan pelantikan jawatankuasa penaja cawangan serta sesi ramah mesra bersama penduduk kampung.
Penyertaan besar-besaran ini menandakan kebangkitan politik baharu di Tenom, sekali gus memperkukuh jentera UPKO dalam misi menawan hati rakyat Tenom, khususnya di DUN Melalap menjelang PRN-17.
![]()