WASHINGTON: Keputusan satu tinjauan baharu yang dikeluarkan, semalam menunjukkan Kamala Harris mendahului Donald Trump dengan ketara dalam meraih sokongan di Pennsylvania dan Michigan.
Kedua-dua negeri itu dilihat sebagai ‘kunci’ untuk memenangi saingan ke Rumah Putih pada Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS), November depan.
Hasil tinjauan itu yang dijalankan selepas debat antara kedua-dua calon berkenaan disiarkan pada 10 September lalu, menunjukkan peningkatan sokongan kepada Harris.
Naib Presiden AS berkenaan dilihat ramai sebagai mengatasi prestasi lawannya daripada parti Republikan itu di atas pentas debat.
Dalam tinjauan terbaharu oleh Universiti Quinnipiac berhubung kemungkinan pengundi, Harris berjaya mendahului Trump dengan 51 peratus berbanding 45 peratus di Pennsylvania, selain turut mengatasi bekas Presiden AS itu dengan 50 peratus berbanding 45 peratus di Michigan – dua negeri di kawasan Rust Belt.
Negeri ketiga di kawasan Rust Belt, Wisconsin yang dianggap sebagai ‘trio’ penting untuk mendukung kemenangan Harris, menyaksikan persaingan hampir seimbang di mana pemimpin itu mendahului dengan satu mata peratusan, menurut Quinnipiac.
Secara keseluruhan, hasil tinjauan menunjukkan perlumbaan sengit di tujuh negeri yang dilihat akan menentukan pemenang dalam sistem Kolej Elektoral AS.
Sementara itu, Trump mendahului tipis di negeri Sun Belt membabitkan Arizona, Georgia dan Carolina Utara, menurut tinjauan RealClearPolitics.com.
Harris menjadi calon Presiden daripada Parti Demokrat, Julai lalu, selepas Presiden Joe Biden menarik diri daripada pencalonan semula susulan prestasi buruk debatnya dengan Trump.
Penyertaan Harris menyuntik semangat baharu kepada parti dan beliau mencatat prestasi lebih baik berbanding Biden dalam tinjauan. – AFP
![]()