BERIBU penduduk terkandas selepas jalan utama Keningau – Apin-Apin di KM13.5 mendap.
Wakil Rakyat Bingkor Datuk Robert Tawik @ Nordin yang tiba lokasi itu seawal pagi pada Jumaat memberitahu, mendapan jalan raya itu memusnahkan sepenuhnya struktur jalan dan tidak boleh dilalui oleh sebarang kenderaan.
Katanya, beliau telah memaklumkan kontraktor konsesi di daerah itu untuk membina jalan alternatif berhampiran kawasan mendapan bagi memudahkan penduduk berurusan di kedua-dua hala.
“Saya telah arahkan kontraktor konsesi untuk membaiki jalan raya itu dengan secepat mungkin, sementara jalan alternatif dibina mulai hari ini juga (Jumaat),” katanya.
Sementara itu pihak keselamatan menasihatkan penduduk menggunakan jalan Transpegalan melalui Kg. Ranggom – Panagatan Ulu – Keningau sebagai laluan sehingga jalan alternatif yang dibina oleh kontraktor konsesi siap digunakan. – Oleh: EKOK AMIN.