SEBUAH kereta jenis MYVI dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir di Jalan Kionsom Lama, Inanam di sini petang pada Jumaat.
Dua individu termasuk pemandu yang berada di dalam kenderaan terbabit dilaporkan selamat selepas sempat keluar dari kenderaan itu dan menyelamatkan diri kira-kira jam 6 petang.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas mengesahkan kejadian itu.
Ketuanya, Agustavia Joe Guasi berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 6.01 petang.
Detik cemas itu sempat dirakam oleh pemandu yang berada di belakang kenderaan berkenaan sebelum ditularkan di media sosial.
Agustavia Joe berkata, pasukan bomba yang menggunakan sebuah lori kemudiannya dikerah ke lokasi kejadian bagi mencari dan menyelamat mangsa, tetapi memberitahu sehingga lewat petang pada Jumaat belum menjumpai kenderaan yang dihanyutkan.
Laporan daripada mangsa terbabit juga belum diperolehi.