Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

KABINET ANWAR: BN Sabah dakwa dipinggirkan

0

Oleh  JAAFAR ABDUL WAHID

KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia): Barisan Nasional (BN) mendakwa tersisih dan dipinggirkan dalam pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan apabila tiada seorangpun daripada tujuh Ahli Parlimennya dilantik sebagai menteri penuh.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menyifatkan dua menteri mewakili Sabah, masing-masing dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) selaku komponen Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah terlalu kecil.

Katanya, jumlah itu tidak seimbang berbanding negeri jiran, Sarawak yang mendapat lima portfolio termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kedua.

“Pembentukan Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan persekutuan ini nampaknya menyaksikan Sabah dipinggirkan dalam pelantikan portfolio khususnya wakil daripada BN Sabah yang memberikan komiten awal bersama BN Pusat untuk menyokong Pakatan Harapan menjadi kerajaan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri

“Tiada seorangpun wakil dari BN Sabah dalam Kabinet baharu ini. Berbanding Sarawak, mereka ada lima menteri,” katanya dalam kenyataan media.

BN Sabah memenangi paling banyak kerusi Parlimen di Sabah dengan tujuh kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), diikuti GRS (enam), PH (lima), WARISAN (tiga), Bebas (dua) serta masing-masing satu Perikatan Nasional (PN) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Malah, BN Sabah turut menyumbang kerusi kedua terbanyak selepas BN Johor daripada 30 kerusi dimenangi BN di seluruh negara pada PRU15.

Bung Mokhtar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berharap peminggiran BN Sabah dalam Kabinet baharu itu bukan petanda peminggiran negeri ini daripada perhatian Kerajaan Perpaduan persekutuan, khususnya dalam aspek pembangunan.

“Kita tidak mahu Sabah sekali lagi dipinggirkan dalam aspek pembangunan terutama pelaksanaan projek infrastruktur yang penting untuk kemudahan rakyat negeri ini.

“Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah umpamanya mesti diteruskan dan dipercepatkan. Kita tidak mahu melihat projek ini sekali lagi tergendala seperti yang berlaku ketika PH menjadi kerajaan pada 2018,” katanya.

Katanya, Sabah juga memerlukan perhatian kerajaan persekutuan dalam menyelesaikan isu bekalan air bersih yang menjejaskan rakyat di seluruh negeri ini, selain bekalan elektrik dan jalan luar bandar yang masih belum menyeluruh.

Perdana Menteri, malam tadi mengumumkan barisan Kabinetnya yang mengandungi 28 menteri termasuk dua TPM yang masing-masing disandang Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mewakili BN dan Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.