Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Cameroon Benamkan Brazil 1 – 0

0

DOHA: Brazil tidak pernah kalah kepada mana-mana pasukan Afrika sepanjang kempen Piala Dunia, dan semalam pengendali mereka, Tite mengakui, pasukan itu mencatat sejarah buruk apabila dimalukan 1-0 oleh Cameroon dalam aksi terakhir Kumpulan G.

Begitupun Tite menegaskan, kekalahan itu hanya tinggal sejarah dan peminat akan melupakannya apabila mereka mulai mencatat kejayaan, bermula de­ngan menumpaskan Korea Selatan di pusingan 16 akhir, Rabu ini.

Dalam aksi di Stadium Lusail semalam, jaringan Vincent Aboubakar memastikan kemenangan sensasi Cameroon, namun itu tidak mencukupi untuk membawa pasukannya mara ke pe­ringkat kalah mati selepas Switzerland mengiringi Brazil dengan menumpaskan Serbia 3-2.

“Tunisia yang kami tewaskan (September), mengalahkan ­Pe­rancis. Banyak pasukan gergasi kalah dalam Piala Dunia kali ini, itulah bola sepak.

“Apa yang penting, kami masih di landasan, tidak tersasar. Sekarang, kita pandang ke depan, fokus kepada perlawanan seterusnya dan peminat juga akan melupakan apa yang berlaku,” kata Tite.

Biarpun kalah, ia tidak menjejaskan kedudukan Brazil selaku juara Kumpulan G, malah Tite juga menggunakan pertemuan dengan Cameroon untuk menguji beberapa pemain yang jarang diberi peluang dalam dua perlawanan sebelumnya.

Pemain seperti Ederson, Dani Alves, Everton Ribeiro dan Pedro diturunkan buat kali pertama di Qatar, manakala Rodrygo serta Gabriel Martinelli disenaraikan dalam kesebelasan ­utama.

Sementara itu, Tite juga memberi amaran kepada pemainnya agar tidak menganggap Korea Selatan sebagai lawan mudah, sambil berharap pe­nyerang prolifik mereka, ­Neymar dapat kembali beraksi.

Tite mengakui, pasukan akan merasa lebih selesa jika Neymar yang mengalami kecederaan buku lali ketika perlawanan pertama akan kembali menyertai rakan-rakannya.

“Dalam tempoh 72 jam kita akan tahu situasinya, kami masih ada masa dan apa sahaja boleh berlaku,” kata doktor ­Brazil, Rodrigo Lasmar.” – AGENSI

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.