Oleh DG HENRY
SAMBIL mengucapkan tahniah kepada lima orang pelajar dari daerah Keningau yang menerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS), Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tulid Flovia Ng berkata, pelajar-pelajar itu perlu cekal untuk mengharungi cabaran yang lebih besar untuk mencapai cita-cita yang diimpikan.
“Anda perlu kekalkan momentum dan teruskan berjaya,” katanya kepada The borneo Digest di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha Kota Kinabalu pada Selasa.
Lima pelajar dari Keningau itu diantara seramai 40 orang pelajar penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) siri ke 33 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Lima pelajar dari Keningau itu terdiri daripada Anis Faizatul Nameera Binti Jefri, dari SM Sains Sabah, Kota Kinabalu, Melissa Nordin, dari SM Ken Hwa Keningau, Tracy Dacilla Davis @ David, dari SM Ken Hwa Keningau, Nur Ain Najwa Binti Harun @ Mahatin, dari SM St. Francis Xavier Keningau dan Averinna Juris, dari SM Sains Labuan.
Kesemua pelajar tersebut mencapai keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 9A Tahun 2021.
Flovia yang merupakan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah berkata, pencapaian kelima-lima pelajar yang berasal dari daerah Keningau itu sangat membanggakan dan perlu dicontohi oleh pelajar-pelajar yang lain.
“Anda yang terbaik,” katanya dan menambah beliau begitu teruja kerana kesemua pelajar cemerlang itu terdiri daripada kaum wanita.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor ketika menyempurnakan majlis anugerah itu menyeru kepada para penerima ABCNS supaya memanfaatkan peluang keemasan itu untuk meningkatkan lagi tahap penguasaan ilmu, khususnya yang berkaitan dengan kreativiti dan inovasi untuk menjadi sebahagian pemangkin matlamat Kerajaan Negeri Sabah.
Katanya, sebagai pelapis masa depan negeri, ilmu yang diperoleh para pelajar cemerlang akan dapat membantu membangunkan negeri ini.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri tetap mengutamakan agenda pembangunan pendidikan disamping mempelbagaikan program pendidikan dalam membantu menokok-tambah usaha Kerajaan Persekutuan meningkatkan kualiti pendidikan di negeri ini.
“Justeru Kerajaan Negeri melalui Pelan Pembangunan SMJ telah memperkenalkan beberapa pakej insentif bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian. Pelaksanaan pakej insentif itu dijalankan melalui program bantuan pendidikan yang telah dilaksanakan dengan peruntukan berjumlah RM24 juta pada tahun 2021 seperti Program Bantuan Institusi Pengajian Tinggi, Program Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Program Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) dan Program Bantuan Wang Pendaftaran IPT (BUDI)”.
Beliau berkata, pakej Insentif seperti BAIK, BAKTI dan BUDI juga telah diteruskan dan menambah inisiatif bantuan berjumlah RM35 juta pada tahun ini.