Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Monyet liar ‘mengamuk’ di Jepun, cederakan 42 orang

0

TOKYO: Pihak berkuasa tempatan di bandar Jepun, Yamaguchi memaklumkan mereka menggunakan pistol penenang untuk menangani monyet liar yang setakat ini sudah mencederakan 42 orang dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Monyet liar lazimnya dilihat di sebahagian besar Jepun dan dianggap sebagai binatang perosak di beberapa kawasan.

Haiwan itu juga memakan tanaman serta memasuki rumah.

Serangan monyet liar di bandar barat Jepun adalah sesuatu yang luar biasa. Orang dewasa dan kanak-kanak mengalami kecederaan akibat dicakar dan gigitan haiwan terbabit.

Kecederaan yang dialami mangsa setakat ini sederhana, namun pihak berkuasa kini menggunakan pistol penenang selepas perangkap yang dipasang gagal memerangkap monyet terbabit.

“Pada mulanya, hanya kanak-kanak diserang. Baru-baru ini, warga emas dan lelaki dewasa juga menjadi sasaran haiwan itu,” menurut pegawai.

Bandar terbabit tidak pasti jika serangan itu dilakukan oleh sekumpulan monyet ataupun seekor monyet yang agresif. Dalam beberapa kes, monyet itu masuk melalui pintu ataupun tingkap yang terbuka.

Pegawai bandar dan polis giat membuat rondaan di kawasan terjejas sejak serangan pertama berlaku pada 8 Julai lalu.

Namun, mereka belum lagi dapat memerangkap monyet terbabit.

Kisah itu menjadi tajuk utama di Jepun dalam beberapa minggu kebelakangan ini selepas penduduk awam melaporkan serangan haiwan terbabit dengan lebih kerap. – AFP

 50 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.