HOSPITAL Umum Pusat Prof. Dr. R.D Kandou Manado, Sulawesi Utara berjaya memisahkan kanak-kanak kembar siam, di sini baru-baru ini.
Lapor Kompas.com, pasangan kembar itu, Joanna dan Jovely yang berusia tiga tahun merupakan anak kepada seorang anggota tentera yang bertugas di Minahasa, Sulut.
Proses pembedahan itu berlangsung selama sembilan jam melibatkan 67 petugas termasuk doktor pakar.
Ketua pengarah hospital tersebut, Dr. Jimmy Panelewen berkata, kes tersebut merupakan yang pertama diuruskan oleh hospital berkenaan kerana kebanyakan kes kembar siam akan dirujuk ke hospital di Jakarta.
“Kami berbangga dengan pencapaian ini dan kami dimaklumkan, Joanna serta Jovely sudah semakin aktif.
“Mereka sudah boleh minum susu dan kelihatan ceria. Selain itu, kita akan melatih pasangan kembar itu untuk berjalan dan mohon urusan mereka dipermudahkan semuanya,” katanya.
Beliau memberitahu, pasangan kembar itu dilahirkan pada 2019, namun tidak boleh dipisahkan kerana pandemik Covid-19, selain perlu menunggu organ utama mereka matang.
Pada mulanya, proses pembedahan dijangka berlangsung selama 12 jam, namun prosedur tersebut berjalan lancar dan berjaya diselesaikan dalam tempoh sembilan jam.
Sementara itu, pihak hospital dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan yang bertungkus-lumus menjalankan pembedahan tersebut.