Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Ketua kartel dadah utama Mexico “El Mencho” terbunuh

0

GUADALAJARA (Mexico): Tentera Mexico mengumumkan mereka telah membunuh ketua kartel dadah berpengaruh, Nemesio Oseguera Cervantes, dalam satu operasi yang mencetuskan gelombang keganasan di beberapa bahagian negara itu.

Oseguera, 59, pemimpin Jalisco New Generation Cartel, cedera dalam pertempuran dengan tentera di pekan Tapalpa, negeri Jalisco, dan meninggal dunia ketika diterbangkan ke Mexico City, menurut kenyataan tentera.

Beliau sebelum ini ditawarkan ganjaran AS$15 juta oleh Amerika Syarikat (AS).

Lelaki bersenjata yang bertindak balas terhadap serbuan itu menyekat lebih 20 jalan di barat negeri Jalisco, termasuk Tapalpa, dengan membakar kereta dan lori. Keganasan turut merebak ke beberapa negeri lain.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, menggesa rakyat supaya bertenang dan berkata kerajaan persekutuan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri.

Anggota tentera Mexico berkawal di laluan masuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Guadalajara selepas operasi yang mengorbankan ketua kartel Jalisco New Generation, Nemesio Oseguera atau “El Mencho”, di Jalisco, Mexico. – Foto AFP

Oseguera, yang digelar “El Mencho,” merupakan antara raja dadah terbesar Mexico yang ditewaskan sejak penahanan pengasas Sinaloa Cartel, Joaquin Guzman dan Ismael Zambada, yang kini menjalani hukuman di AS.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa serbuan berkenaan dilaksanakan dengan bantuan risikan tentera Mexico serta “maklumat pelengkap” daripada pihak berkuasa AS.

Selain Oseguera, enam lagi suspek anggota kartel terbunuh dan tiga anggota tentera cedera.

Dua suspek ditahan dan pelbagai senjata dirampas, termasuk pelancar roket yang mampu menjatuhkan pesawat serta memusnahkan kenderaan berperisai.

Negeri Jalisco, yang dijadual menjadi tuan rumah empat perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 pada musim panas ini, membatalkan semua acara berskala besar semalam dan kelas bersemuka hari ini susulan keganasan tersebut.

Jalan-jalan di ibu negeri Jalisco, Guadalajara, hampir lengang apabila kedai, farmasi dan stesen minyak ditutup.

Maria Medina, pekerja stesen minyak yang dibakar, berkata lelaki bersenjata datang dan mengarahkan semua orang keluar.

“Saya fikir mereka mahu menculik kami. Saya lari berlindung di gerai taco bersama orang lain,” katanya kepada AFP.

Keganasan turut merebak ke negeri jiran Michoacan, yang juga menjadi kawasan operasi kartel itu, serta bandar peranginan Puerto Vallarta.

Asap kelihatan dari sebuah kenderaan yang terbakar dalam sekatan jalan raya susulan operasi ketenteraan yang dilaporkan membunuh ketua kartel dadah Mexico, Nemesio Oseguera atau “El Mencho”, di Guadalajara, Jalisco, Mexico. – Foto REUTERS

Kartel berkenaan ditubuhkan pada 2009 dan berkembang menjadi antara organisasi pengedaran dadah paling ganas di Mexico, menurut Jabatan Kehakiman AS.

AS telah mengklasifikasikan kartel Jalisco sebagai organisasi pengganas dan menuduhnya menyeludup kokain, heroin, metamfetamin dan fentanyl ke negara itu.

Timbalan Setiausaha Negara AS, Christopher Landau, menyambut baik operasi tersebut dan menyifatkan Oseguera sebagai “antara raja dadah paling berdarah dan kejam.”

“Ini adalah perkembangan besar untuk Mexico, Amerika Syarikat, Amerika Latin dan dunia,” katanya.

Serbuan itu berlaku ketika Presiden AS, Donald Trump, terus memberi tekanan kepada Mexico untuk membendung aliran dadah, khususnya fentanyl ke AS.

Trump berulang kali mengancam mengenakan tarif ke atas eksport Mexico, dengan mendakwa kerajaan Sheinbaum tidak melakukan secukupnya untuk memerangi perdagangan dadah.

Dalam satu kenyataan di media sosial selepas keganasan tercetus, Jabatan Negara AS menasihatkan rakyatnya di sebahagian besar Mexico supaya “berlindung di tempat masing-masing sehingga diberitahu kelak.

“Kanada turut mengeluarkan amaran perjalanan ke beberapa kawasan, memetik “insiden tembak-menembak dengan pasukan keselamatan dan letupan” di negeri Jalisco, Guerrero dan Michoacan.

Syarikat penerbangan AS dan Kanada membatalkan puluhan penerbangan ke Mexico susulan keganasan berkenaan. – AFP

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.