PENAMPANG: Keupayaan pelbagai kaum untuk bersatu padu akan menentukan masa depan negara ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
“Negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan adat resam harus terus bersatu padu, hormati-menghormati dan bekerjasama antara satu sama lain. Keupayaan kita bersatu padu dan hormat menghormati inilah akan menentukan masa depan negara kita.
“Ini termasuklah usaha pembangunan ekonomi dan kemudahan yang diperlukan oleh rakyat. Semua ini bermula daripada keupayaan rakyat bersatu-padu,” katanya.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang menyatakan demikian di sambutan Festival Tua Pek Kung Sedunia di Donggongon, Penampang.
“Selagi saya menjadi Wakil Rakyat di Sabah, saya akan menyokong kepimpinan yang berupaya memupuk kesatuan, kerjasama dan keharmonian semua kaum di negara ini, termasuklah peranan saya memastikan perkara ini dijayakan di Penampang iaitu kawasan yang saya wakili.
“Kita sedang bekerjasama keras menyediakan Pelan Pembangunan Penampang dan saya mengalu-alukan cadangan semua rakyat Malaysia. Kejayaan ini melaksanakan pelan pembangunan ini juga banyak bergantung kepada keupayaan kita di Penampang untuk bersatu padu dan bekerjasama,” katanya.
Seterusnya, semasa merasmikan Konsert Keehoi Malaysiaku anjuran SabahVFM di Buhavan Square, Donggongon, Ewon turut mengulangi gesaan yang sama agar semua rakyat yang berbilang kaum dapat memantapkan keharmonian, amalan hormat-menghormati dan semangat bekerjasama antara satu sama lain.