Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Salam Malaysia Madani

0

PADA tahun 1992, saya menyaksikan siaran secara langsung di televisyen pertandingan akhir Piala Thomas. Dalam liputan siaran, sememangnya terserlah semangat rakyat Malaysia berbilang kaum menyokong pasukan badminton negara dan berbangga dengan kejayaan memenangi pertandingan tersebut. Momen itu antara yang terbaik dalam ingatan saya sebagai seorang Anak Malaysia.

Tahun ini kita meraikan ulangtahun penubuhan Persekutuan Malaysia yang ke-60. Negara ini terbina susulan satu perjanjian antarabangsa yang dikenali sebagai Perjanjian Malaysia 1963 melibatkan wilayah-wilayah yang masih kekal hari ini iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Perjanjian Malaysia itu sepatutnya menjadi panduan kepada tadbir urus negara kita, termasuk Perlembagaan Persekutuan. Setiap wilayah dan setiap kaum mempunyai hak dan peranan. Semangat penubuhan negara inj mesti sentiasa dihormati, dipelihara, dijunjung dan dijayakan.

Sebagai Presiden UPKO, saya mahu melihat negara ini terus menjadi persekutuan yang berasaskan kepada demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan, yang menerima Islam sebagai agama rasmi tetapi agama lain boleh dianuti dengan harmoni, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi bahasa ibunda terus diamalkan, hak Melayu dan Anak Negeri Sabah dan Sarawak dihormati tetapi kaum lain juga mempunyai hak di bawah perlembagaan.

Parti UPKO juga akan memainkan peranan berkesan dalam memastikan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 dapat dilaksanakan. Ini termasuk peranan saya dalam Jemaah Menteri Persekutuan, Majlis Khas Tindakan Pelaksanaan MA63 dan Jawatankuasa Teknikal MKTP MA63.

Selama 60 tahun ini, kita sememangnya telah mengecapi pelbagai pencapaian dan kemajuan dalam banyak sektor, tetapi kita masih mempunyai pelbagai isu dan cabaran. Keupayaan kita saling hormat-menghormati, bersatu padu dan bekerjasama antara satu sama lain dalam keluarga besar Malaysia akan menentukan kejayaan dan masa depan negara kita.

Sebagai Anak Malaysia, saya ingin melihat lebih banyak momen terbaik dapat dicetuskan agar generasi akan datang boleh berbangga dengan kita semua. Mari terus saling memotivasi dan memberi inspirasi kepada semua rakyat Malaysia.

DATUK EWON BENEDICK

Selamat menyambut Hari Malaysia!

 

 

 

 

 

 138 total views,  2 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.