DOMINASI sebuah kilang penyimpanan kayu getah tertua Ho Lian di Kampung Patikang Ulu Keningau (Sabah, Malaysia) berakhir selepas musnah dijilat api awal pagi pada Selasa.
Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam satu kenyataan kepada media memberitahu, pihaknya mengambil masa sekurang-kurangnya 19 jam untuk memadam keseluruhannya api yang marak sehingga lewat petang.
Kilang berkeluasan 1,728 meter persegi itu terbakar sejak 12.30 tengah malam dan hanya padam sepenuhnya pada 7.35 malam, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 12.46 tengah malam dan operasi pemadaman segera digerakkan membabitkan 22 pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau.

“Operasi turut mendapat bantuan 15 lagi anggota daripada BBP Sook, BBP Tenom dan BBP Tambunan bersama dua jentera.
“Kebakaran turut membabitkan sebuah jentera excavator, empat jentera forklift, tiga jentera cutterpillar, 12 mesin multiblade dan sebuah lot cutter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, api kebakaran turut memusnahkan 450 pek asid borik seberat 25 kilogram setiap satu dan beberapa tayar simpanan jentera berat yang sekali gus menyebabkan api terlalu sukar dikawal.
Jurucakap itu berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang hampir 200 meter dengan dua pancutan.
“Operasi pemadaman turut menggunakan satu aliran sepanjang lebih 150 meter dengan empat pancutan daripada sumber air jentera bomba dan air terbuka dari parit berhampiran.
“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan kebakaran dikawal pada 2.40 pagi. Kami meneruskan operasi pemadaman dan memastikan tiada api yang mencetus kebakaran,” katanya.
Pihaknya memastikan keadaan selamat sebelum operasi ditamatkan pada 7.35 malam. – Oleh: DG HENRY
2,034 total views, 1 views today