Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

KPWKM sedia bantu anak-anak Siti Sarah

0

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia untuk membantu anak-anak kepada penyanyi terkenal, Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia beberapa hari lepas.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, bantuan tersebut adalah daripada segi khidmat kaunseling dan motivasi kepada anak-anak tersebut.

“Insya-Allah kita pun akan memberi sokongan kepada anak-anak ini, bukan sekadar kewangan, bahkan mungkin memerlukan sokongan dari segi emosi, bukan dewasa sahaja bahkan kanak-kanak.

“Mereka ini mungkin agak terkejut, dengan kehilangan ibu dan kita perlu memberi semangat dan dorongan untuk terus melangkah ke arah kehidupan yang lebih baik

“Saya ucapkan takziah kepada Shuib dan ahli keluarga arwah,” katanya selepas menziarahi keluarga Intan Iewanina di Flat Sri Perantau, di sini hari ini.

Terdahulu, arwah dan suaminya yang juga seorang pelawak, Shuib serta anak-anak mereka disahkan positif Covid-19 sebelum ini.

Bagaimanapun, pada hari mereka sepatutnya menamatkan kuarantin, arwah dibawa ke hospital selepas mengadu kekurangan oksigen.

Arwah kemudian terpaksa ditidurkan dan operasi mengeluarkan bayi selamat dijalankan.

Namun, arwah meninggal dunia pada pukul 5.13 pagi semalam selepas dikatakan mula kritikal pada hari Jumaat minggu lalu. -SM

 441 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.