Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

KUSKOP Komited Bangunkan Industri Kreatif Sabah – Ewon

0

Penampang, 15 Julai 2025 – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyatakan komitmen untuk memperkukuh pembangunan industri kreatif di Sabah menerusi penyediaan pembiayaan dan sokongan strategik kepada usahawan dalam sektor berpotensi tinggi ini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata Sabah memiliki kelebihan tersendiri dalam bidang filem, seni visual dan kandungan digital, khususnya melalui bakat dan kreativiti yang dimiliki oleh golongan muda.

“Sabah mempunyai potensi besar dalam industri kreatif. Justeru, KUSKOP bersedia membantu pemain industri, termasuk usahawan muda, untuk mengembangkan perniagaan mereka melalui akses kepada pembiayaan dan program keusahawanan,” katanya.

Beliau turut menggalakkan Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA) untuk menubuhkan sebuah koperasi, bagi memudahkan ahlinya mendapatkan manfaat daripada pelbagai kemudahan dan dana yang ditawarkan oleh agensi-agensi di bawah KUSKOP.

Ewon berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada SAFVA yang diketuai oleh Presidennya, Chester Pang, di mana pihak persatuan membentangkan aktiviti mereka serta beberapa isu utama yang dihadapi oleh komuniti kreatif di Sabah, termasuk kekangan pembiayaan, kekurangan latihan kemahiran dan keterbatasan akses pasaran.

Sebagai respons, KUSKOP berkongsi pelbagai inisiatif kementerian yang relevan untuk menyokong pembangunan keusahawanan kreatif, termasuk pembiayaan mikro, latihan keusahawanan, dan geran khas untuk industri kreatif, dengan penekanan kepada penglibatan belia.

Ketika ini, SAFVA mempunyai 158 ahli yang terdiri daripada penerbit, pengarah, kru produksi dan pelakon dari seluruh Sabah.

“Penubuhan koperasi oleh SAFVA bukan sahaja membuka peluang pembiayaan, malah mampu mewujudkan kerjasama lebih tersusun antara ahli dalam membangunkan industri ini ke peringkat yang lebih tinggi,” tambah Ewon.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.