Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

KUSKOP cadang tambah pusat pengedaran utama (DC) koperasi – Ewon

0

KUALA LUMPUR: Datuk Ewon Benedick berkata kementeriannya melalui   Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bercadang menambah bilangan pusat pengedaran utama (DC) koperasi di bawah cadangan inisiatif penstabilan harga barangan keperluan asas melalui gerakan koperasi.

Ketika ini jelasnya, Sabah mempunyai dua DC dan cadangan penambahan satu DC pada tahun hadapan, manakala di Sarawak pula mempunyai dua DC ketika ini dan cadangan penambahan lima lagi DC pada tahun ini.

“Cadangan penambahan DC ini dilaksanakan di bawah Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE) yang bertujuan menaiktaraf CoopMart sebagai pusat pengedaran koperasi bagi menambah bilangan DC seterusnya mengurangkan kos logistik di mana geran bantuan sehingga RM300,000 disediakan kepada koperasi yang layak untuk dibangunkan menjadi DC,” katanya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia itu berkata demikian ketika  menjawab pertanyaan lisan daripada Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee yang bertanya dapatan kajian menilai keberkesanan subsidi dalam mengurangkan kos pengangkutan barangan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.

Menurut Ewon, pemberian subsidi pengangkutan untuk barangan keperluan harian dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak menerusi gerakan koperasi dapat membantu menstabilkan harga barangan keperluan di kawasan luar bandar dan pendalaman.

“KUSKOP dan SKM telah mengenalpasti inisiatif serta mekanisme membantu penstabilan harga barangan keperluan asas melibatkan gerakan koperasi melalui penyediaan insentif bagi membiayai kos pengangkutan.

“Melalui cadangan inisiatif ini, pusat pengedaran atau sub pusat pengedaran koperasi serta outlet CoopMart di Sabah dan Sarawak akan membantu penstabilan harga barangan keperluan harian di kawasan pedalaman di samping membantu penjanaan pendapatan koperasi terlibat.

“Perincian inisiatif tersebut sedang diselaraskan di peringkat kementerian dan akan dikemukakan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk pertimbangan peruntukan dan tindakan penyelarasan selanjutnya,” katanya.

Menurut Ewon, cadangan inisiatif penstabilan harga barangan keperluan harian tersebut adalah bagi melengkapkan usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) di bawah inisiatif harga Rahmah bagi menyediakan barangan keperluan harian pada harga yang lebih rendah.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.