MAYAT Seorang lelaki yang turun bersama dua rakannya untuk memancing di laut ditemui terdampar di pantai Sungai Benoni, kira-kira jam 6.20 pagi pada Ahad.
Ketika kejadian, mangsa yang dikenalpasti sebagai Muhamad Hasyidan Hria, 27, dikatakan terjun ke laut untuk menyelamatkan injin sangkutnya yang terjatuh.
Kejadian dilaporkan berlaku di kawasan bagang, perairan Papar.
Mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras kerana tidak muncul di permukaan air selepas itu menyebabkan dua rakan terus menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Mohd Johainin Ruslan berkata, sepasukan anggota dan pegawainya dikerahkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.29 petang.
“Setibanya di lokasi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dilakukan apabila anggota bertugas menurunkan bot bagi mencari mangsa.
“Namun, operasi yang dilakukan lebih sejam gagal menemui mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Johainin berkata operasi terpaksa ditangguhkan pada 7 malam berikutan faktor cuaca dan keadaan air yang bergelora.
Mayat mangsa kemudiannya ditemui terdampar di pantai Sungai Benoni, kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian itu berlaku.