Mayat terakhir tragedi bot karam Tenom ditemui
Mayat terakhir ditemui kira-kira 37 kilometer dari lokasi kejadian
MAYAT mandiang Joseph Sayah, 55, mangsa terakhir bot karam Sungai Padas Rabu lalu ditemui oleh orang awam tersangkut ditebing sungai di Kampung Saliwangan (Perang Besar) Batu 64, Beaufort (Sabah) kira-kira jam 6.45 pagi pada Sabtu.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.52 pagi mengenai penemuan itu.
“Pasukan bertugas mendapati memang terdapat seorang mangsa lemas seperti yang dilaporkan.
“Mangsa yang tersangkut ditebing sungai dikeluarkan menggunakan stratcher sebelum diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.
“Mayat terakhir ini ditemui kira-kira 37 kilometer dari lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Farhan Sufyan memaklumkan operasi mencari dan menyelamat bot karam bersama agensi bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahahan Awam Malaysia (APM) tamat pukul 8.55 pagi.
Terdahulu, seorang mangsa yang hilang iaitu kanak-kanak berusia 12 tahun, Melvin Junaidi berjaya ditemui di Batu 60, sekitar 33 kilometer dari lokasi kejadian.
Dalam kejadian kira-kira jam empat petang pada Rabu, kedua-dua mangsa hilang selepas bot yang mereka terbalik secara tiba-tiba selepas dipukul oleh arus Sungai Padas.
Ketika kejadian kedua mangsa itu bersama dua orang penduduk sekampung dipercayai dalam perjalanan pulang selepas membeli barang keperluan di pekan Tenom.
Dua mangsa yang lain iaitu seorang lelaki warga emas lelaki dan seorang wanita berjaya menyelamatkan diri manakala dua lagi mangsa hanyut sebelum hilang di bawa arus deras. – Oleh: EKOK AMIN dan ROSANNA EDEZA.
761 total views, 1 views today