Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

MoU UMS–UniSZA Perkukuh Jaringan Universiti Tempatan Seiring Aspirasi KPT

0

KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia), 29 Sept 2025 – Pemeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) disifatkan sebagai langkah strategik dalam memperkukuh jaringan akademik serta penyelidikan antara universiti tempatan, seiring aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, menegaskan MoU ini bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya menjadi landasan penting untuk membina hubungan dua hala yang lebih erat dan mampan.

“Menerusi MoU ini, kedua-dua universiti akan memperluas kerjasama dalam pertukaran kepakaran akademik, kolaborasi penyelidikan dan penerbitan bersama, program mobiliti pelajar, serta penganjuran seminar, bengkel dan persidangan.

Selain itu, projek berasaskan tanggungjawab sosial juga menjadi agenda utama sebagai inisiatif memperkasa komuniti,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis menandatangani MoU berkenaan di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, kekuatan unik kedua-dua institusi akan saling melengkapi dalam membina ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif dan berdaya tahan.

“UMS sebagai universiti di Borneo mempunyai kelebihan dalam bidang biodiversiti, kelautan, sains sosial dan pembangunan komuniti, manakala UniSZA menonjol dalam pengajian Islam, sains perubatan, kesihatan dan pembangunan insan. Gabungan ini diyakini akan memberi manfaat besar kepada masyarakat serta negara,” jelasnya.

Tambah Kasim, kerjasama yang dimeterai itu diyakini menjadi pemangkin kepada pencapaian akademik dan penyelidikan berimpak tinggi, seterusnya mengangkat martabat universiti awam negara di peringkat antarabangsa.

Pada majlis tersebut, Prof. Datuk Dr. Kasim menandatangani dokumen MoU bagi pihak UMS, manakala UniSZA diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Zuhairah Ariff Abd Ghadas, yang mewakili Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam.

Turut hadir, Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Dekan Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial UMS, Prof. Dr. Mohd. Dahlan A. Hj Malek; serta Dekan Fakulti Sains Sosial Gunaan UniSZA, Prof. Dr. Ahmad Puad Mat Som. —Oleh: Salbinous Saribun

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.