TENOM (Sabah, Malaysia) – Naib Pengerusi Wanita parti Democratik Action Parti (DAP) Sabah, Noorita Sual, menang tanpa tanding bagi jawatan Ketua Bahagian Wanita parti itu pada pemilihan parti itu di sini.
Noorita yang juga Wakil Rakyat Parlimen Tenom merupakan pengerusi cawangan parti itu di Pekan Kemabong yang merupakan seorang daripada tiga wakil rakyat wanita DAP di Sabah.
Naib wanita disandang Yiska Lassan yang juga menang tanpa tanding, setiausaha disandang Ganit, penolong setiausaha Laudia Lawis, bendahari Florina Albert, setiausaha organisasi Lamana Tumua, setiausaha publisiti Juridah Pangas dan pengarah pendidikan politik Lo Lee Jian.
Seramai 16 orang ahli wanita layak mengundi pada mesyuarat tersebut yang julung kali diadakan di Rumah Kebudayaan Kampung Sugiang Tengah dan disaksikan oleh seramai 300 orang ahhli-ahli parti itu di situ.
Mesyuarat Tahunan Biasa Wanita DAP itu dipengerusikan oleh Ketua Wanita DAP Sabah Janie Lasimbang yang merupakan Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Negeri Sabah.
Terdahulu dalam ucapan perasmian, Janie berkata, penglibatan wanita sebagai wakil rakyat dan pemimpin sudah berada hampir pada 30 peratus pembuat keputusan komiti negeri.
Tambahnya, keterbukaan ahli wanita DAP di Semenanjung sebagai bukti bahawa adanya demokrasi sehingga beliau sendiri menjadi ahli pemimpin peneraju komiti nasional DAP Malaysia.
Selain itu katanya, di Sabah terdapat 6 bahagian DAP dengan satu bahagian dan satu parlimen iaitu parlimen Penampang, Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Keningau dan Tenom.
Sementara beberapa bahagian sasaran pada masa hadapan termasuk Sepanggar, Pitas, Pensiangan dan lain-lain daerah akan ditubuhkan, kelewatan sedikit penubuhan atas aspek pemprosesan borang keahlian yang mengambil masa dan perlu mendaftar di ROS.
Dalam pada itu Jannie berkata, kerjasama antara pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO), dalam merealisasikan hasrat pembangunan negeri membuahkan hasil yang sangat positif.
“Wanita perlu bersedia menjadi pemimpin dimasa akan datang kerana akan ada latihan kepimpinan dari peringkat kampung sehingga pemimpin negeri.
“Pastikan adat diwarisi generasi muda termasuk cara perubatan tradisional, budaya dan adat resam yang perlu diceburi kaum wanita agar kelihatan kesaksamaan gender antara lelaki dan wanita mempunyai keseimbangan dan setaraf,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Noorita melahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Tenom dan khususnya ahli-ahli wanita DAP yang setia dan berjuang demi kekuatan parti dan kesejahteraan rakyat di daerah ini.
“Pelaksanaan mesyuarat yang dijangka dihadiri beberapa orang sahaja telah bertukar kepada majlis yang disambut ramai kerana kehadiran ratusan wanita dan lelaki rakyat seluruh Tenom menyaksikan mesyuarat tahunan biasa ini, terima kasih kerana menyokong perjuangan kita dalam DAP dan demi rakyat, ” jelas beliau.
Hadir sama ialah, penolong setiausaha DAP negeri merangkap Ahli dewan undangan negeri (Adun) Likas, Tan Lee Fatt dan Penolong Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Rakyat, Haris Bolos.