GARA –gara memandu melawan arus seorang wanita maut di lokasi kejadian selepas bertembung dengan kenderaan lain di Jalan Tuaran Bypass berhadapan Dewan Kebudayaan kira-kira jam 1 pagi pada Selasa.
Mangsa dikenalpasti sebagai Florenni Dominic, 28, memandu kenderaan jenis Produa Kancil dipercayai dalam perjalanan pulang.
Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Deputi Superintenden Jo Ak Hang berkata, tiga mangsa lain yang mengalami cedera parah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) untuk tindakan lanjut.
Siasatan awal polis mendapati, Perodua Kancil dipandu mangsa melawan arus hingga bertembung dengan kenderaan Perodua Alza yang sedang menghala ke Penampang.
“Pemandu Perodua Alza yang merupakan seorang lelaki berusia 30 tahun menyedari kenderaan mangsa dipandu melawan arus namun tidak sempat untuk mengelak kerana jarak kenderaan yang terlalu dekat. Kedua-dua kenderaan bertembung.
“Akibat pertembungan itu, mangsa mengalami kecederaa teruk dan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua penumpang bersamanya serta pemandu Perodua Alza yang cedera parah dibawa ke hospital,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HQE dan sampel darah mangsa akan diambil bagi analisis alkohol.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.– Oleh: EKOK AMIN
![]()