IPOH: Cawangan baharu Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di Perak akan membantu Gerakan koperasi di negeri itu untuk terus bergerak cergas, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
“Mudah-mudahan pejabat dengan wajah baharu ini dapat memberi sumbangan kepada gerakan koperasi negara khususnya di Perak yang ketika ini berjumlah 1,734 koperasi.
“IKMa menawarkan lebih 80 modul kursus dan tahun ini kita telah melaksanakan lebih 700 di seluruh negara,” katanya di sini pada Isnin.
Pejabat baharu itu terletak di Kompleks Perdagangan DWJ@Meru, Bandar Meru Raya.
Beroperasi sepenuhnya sejak 2023, IKMa Cawangan Ipoh menjadi pusat kecemerlangan pembangunan pendidikan bagi koperasi, menawarkan pelbagai program latihan termasuk pengurusan kewangan, keusahawanan, dan digitalisasi.
Ewon turut berbangga atas kejayaan 11 koperasi yang berdaftar di Perak tersenarai dalam kategori 100 koperasi terbaik.
“Saya percaya ini merupakan satu manifestasi daripada peranan IKMa Perak, SKM Perak dan semangat kerjasama serta peranan gerakan koperasi itu sendiri,” katanya.
Pada majlis itu, Ewon turut melancarkan Tabung Pendidikan Islamic Socioeconomic Development Foundation (ISDEF) ISDEF-Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).
Tabung ini bertujuan membantu pelajar yang layak khususnya dari keluarga B40 meneruskan pengajian tanpa halangan kewangan.
“Kita mengalu-alukan inisiatif pelbagai pihak yang bekerjasama dengan institusi koperasi dan gerakan koperasi.
“Tabung ini adalah aspirasi besar untuk memastikan tiada anak bangsa yang ketinggalan hanya kerana kekangan ekonomi. Melalui inisiatif ini, kami bukan sahaja membuka pintu kepada pendidikan tinggi, tetapi turut menggalakkan pelajar untuk cemerlang akademik dengan fokus sepenuhnya pada pengajian,” katanya.