NAYPYIDAW: Tentera etnik minoriti yang menganggotai perikatan pemberontak melawan tentera pemerintah Myanmar, mengumumkan pihaknya bersedia untuk mengadakan rundingan dengan junta, selepas setahun bertempur di sepanjang sempadan Myanmar-China.
Keputusan Tentera Pembebasan Nasional Ta’ang (TNLA) itu diumumkan, lewat semalam. TNLA dalam satu kenyataan melalui saluran Telegram rasminya turut menuntut serangan udara tentera pemerintah di wilayah kumpulan itu, Shan, dihentikan.
Pada masa sama, TNLA menyatakan hasrat untuk mengadakan rundingan, selain menzahirkan penghargaan atas usaha mediasi oleh China.
“Rakyat awam kami sedang menderita akibat serangan udara dan kesulitan lain. Oleh itu, kami perlu mencari jalan keluar,” kata jurucakap kumpulan itu, Lway Yay Oo.
Sementara itu, dua kumpulan lain dalam perikatan berkenaan, Tentera Arakan dan Tentera Perikatan Demokrasi Nasional Myanmar, tidak memberi respons segera kepada permintaan untuk komen berhubung perkara berkenaan, setakat ini.
Sebelum ini, perikatan pemberontak itu pernah mencapai gencatan senjata dengan tentera Myanmar pada Januari lalu ketika rundingan yang dimediasi oleh China.
Bagaimanapun, perjanjian itu gagal bertahan pada Jun lalu dan pertempuran meletus semula.
Setakat ini, jurucakap junta Myanmar tidak menjawab panggilan daripada REUTERS, manakala Kedutaan Beijing di Yangon pula tidak memberi respons segera kepada permintaan untuk komen susulan kenyataan TNLA itu. – REUTERS