Oleh JAAFAR ABD WAHID
DATUK Seri Panglima Bung Moktar berkata, laporan atas kertas bukan tali ukur bagi Barisan Nasional Pusat dan Negeri untuk menilai dan menentukan kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

Katanya, masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi dan ditambah baik khususnya jentera Barisan Nasional di beberapa bahagian.
“Tahap kesiapsiagaan belum ditahap yang diharapkan,” Katanya.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah itu berkata, jentera di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan juga cawangan perlu diperkasakan serta melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya.
“Kunci kemenangan adalah kekuatan jentera akar umbi .. yang penting buat kerja yang terbaik di peringkat PDM, cawangan, kita berkerja cara mahu menang dan kekuatannya ada di sini” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi Libat Urus PRU Ke-15 Biro Politik Umno bahagian bahagian Negeri Sabah bersama Timbalan Presiden Umno Dato Seri Utama Haji Mohamad Hasan di bangunan Umno, hujung minggu lalu.
Hadir sama Naib presiden Umno Dato Mohamed Khaled Nordin , setiausaha Agung Umno Datuk Ahmad Maslan, Setiausaha BN Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Pemuda Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
” PRU kali ini jentera serta ahli perlu menampilkan semangat jentera yang luar biasa kerana kita menuntut kemenangan untuk membentuk kerajaan yang stabil” katanya
Bung menambah dalam PRU kali ini, jentera negeri akan berhadapan secara berseorangan jadi kesiapsiagaan perlulah menyeluruh.
Mengulas sambutan ahli parti BN dalam program pelancaran Gelombang Biru dan pelancaran jentera BN yang telah diadakan di beberapa bahagian Tawau dan Kota Belud, Bung yang juga Ketua Umno bahagian Kinabatangan berkata sambutan agak luar biasa
” Semangat dengan kehadiran yang ramai ketika pelancaran menunjukkan komitmen yang tinggi di kalangan ahli dan jentera parti dan semangat ini perlu kita bawa turun ke bawah ke peringkat PDM apabila PRU Ke-15 diadakan dan program Gelombang Biru serta Pelancaran jentera BN ini akan kita teruskan ke beberapa bahagian mengikut jadual yang telah ditetapkan ” tambah Bung.
Mengenai calon Bung berkata BN Sabah khususnya Umno sudah menerima senarai calon yang dicadangkan dari setiap bahagian
” Kita sedang meneliti dan memperhalusinya sebelum memuktamadkan bila tiba masanya kita mengumumkan calon-calon yang bertanding” katanya.
201 total views, 2 views today