KUALA LUMPUR: Ketua Whip Parlimen DAP Nga Kor Ming berkata, masyarakat Malaysia MADANI perlu fokus kepada usaha meningkatkan daya saing syarikat tempatan di pentas global, bukannya persaingan antara masyarakat Bumiputera dan bukan Bumiputera.
Tegasnya, beliau bersetuju dengan pandangan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, bahawa dalam era globalisasi yang sedang dialami, persaingan sebenar adalah antara syarikat tempatan dengan syarikat asing, khususnya konglomerat antarabangsa.
“Oleh itu, rakyat Malaysia perlu bekerjasama dan bukan bersaing sesama sendiri.
“Jangan kita terperangkap dengan pemikiran lapuk yang terbelenggu dengan mentaliti ‘zero sum game’ (situasi di mana keuntungan hanya menyebelahi satu pihak),” katanya, ditanya selepas menghadiri Kongress Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada hari ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, kerjasama strategik antara Bumiputera dan bukan Bumiputera menjadi elemen penting dalam masyarakat MADANI, sekali gus mampu mencipta lebih banyak kejayaan kepada negara.
Kor Ming menyeru rakyat negara ini untuk mempertingkatkan usaha dalam mencari peluang kerjasama selaras prinsip Malaysia MADANI.
“Dengan semangat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, nescaya Malaysia akan bangkit semula menjadi negara yang disegani dan dihormati di pentas dunia serta mencapai sasaran menjadi ekonomi ke-30 terbesar dan menduduki tangga ke-12 dalam Indeks Daya Saing dunia menjelang tahun 2030,” katanya.