Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Pertemuan Ewon Ismael Maddallah jalin potensi Kerjasama agensi KUSKOP Malaysia – Jordan

0
Ewon dan Dr Ismael mengabadikan gambar bersama pegawai kanan kedua pihak

KUALA LUMPUR: Pertemuan empat mata antara  Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick  dengan Duta Besar Jordan ke Malaysia TYT Dr. Ismael Maddallah Suliman Maaytah membuahkan potensi  kerjasama di antara agensi-agensi kementerian dan koperasi di Jordan.

“Kami membincangkan kerjasama antara Jordan Cooperative Corporation dengan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan antara Jordan Enterprise Development Corporation dengan SME Corp Malaysia.

“Beliau juga menjemput saya untuk mesyuarat dua hala dengan Menteri Pembangunan Usahawan Jordan semasa lawatan kerja saya di Jordan sempena dengan Persidangan Menteri-Menteri Koperasi Asia Pacific, hujung bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, Isnin.

Datuk Ewon menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar ditu di pejabatnya hari ini.

Ewon menghargai pengiktirafan Ismael Maddallah ke atas agensi-agensi terkait pembangunan koperasi dan keusahawanan di kementerian.

“Mudah-mudahan kerjasama ini akan terus berkembang menjadi berkat buat negara Malaysia dan kerjasama atara dua negara,” katanya.

Ewon dijadualkan untuk mengadakan lawatan kerja ke Jordan untuk menghadiri Persidangan Menteri-Menteri Koperasi Asia Pacific (APCMC), selama lima hari bermula 27 April hingga 1 Mei ini.

Turut hadir dalam kunjungan itu, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Pemantauan KUSKOP, Noor Afifah Abdul Razak, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil KUSKOP Azizul Alias, Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy dan Naib Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Rozdeen Mohd Jaafar.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.