Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Ribuan penduduk Israel gesa perang di Gaza ditamatkan sempena ‘Hari Tanah’

0

DEIR HANNA: Ribuan rakyat Palestin Israel berhimpun bagi mengadakan tunjuk perasaan menuntut perang Gaza ditamatkan sempena memperingati ‘Land Day’ atau Hari Tanah.

Hari Tanah, yang disambut pada Jumaat lalu, adalah acara tahunan memperingati protes 1976 terhadap rampasan tanah milik penduduk Arab di Palestin oleh Israel.

Kumpulan penunjuk perasaan yang diketuai oleh Ahli Parlimen Israel berketurunan Arab, berarak melalui bandar Deir Hanna sambil mengibarkan bendera Palestin dan membawa sepanduk bertulis: ‘Hentikan perang ke atas Gaza’.

Kebanyakan penunjuk perasaan adalah warga Arab-Israel iaitu penduduk Palestin yang berjaya mengelak pemindahan paksa ketika perang 1948 yang menyaksikan pembentukan Israel, di mana sekitar 21 peratus daripada penduduknya adalah warga Arab-Israel.

Sekumpulan kecil penduduk Yahudi-Israel turut menyertai perhimpunan itu dengan membawa sepanduk bertulis: ‘Orang Yahudi dan Arab enggan bermusuhan’.

Hari Tanah memperingati bantahan dan mogok pada 30 Mac 1976 terhadap keputusan pihak berkuasa Israel untuk merampas sebahagian besar tanah di wilayah utara Galilee.

Polis Israel melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan ketika bantahan itu, menyebabkan enam mangsa terbunuh dan rancangan kerajaan itu kemudiannya dibatalkan.

Rakyat Arab-Israel mengalami kadar pengangguran, kemiskinan dan jenayah yang lebih tinggi daripada Yahudi-Israel.

Pemimpin masyarakat dan bekas ahli Parlimen, Mohammed Barakeh, berkata orang Arab-Israel masih menghadapi ‘pemindahan secara paksa dan penindasan’.

“Mereka yang syahid di Gaza turut menandakan kesengsaraan kita, wanita yang dibunuh di Gaza adalah saudara kita,” katanya mengecam apa yang disifatkannya sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai’ di wilayah Palestin.

Ketua Majlis Perbandaran Deir Hanna, Saeed Hussein, berkata 48 tahun sudah berlalu tetapi pembunuhan, penindasan dan pemindahan secara paksa masih berleluasa dengan usaha menghapuskan identiti dan rampasan tanah berterusan

“Pada hari ini 48 tahun lalu, orang kita menghalang cubaan merampas tanah milik kita menerusi bantahan… menjadikannya elemen penting dalam sejarah kita,” katanya.

Sejak perang meletus hampir enam bulan lalu di Gaza, penduduk Arab-Israel berkata mereka menghadapi permusuhan yang semakin meningkat daripada kerajaan dan penduduk Israel yang lain.

Eyal, seorang aktivis Yahudi Israel berusia 33 tahun, berkata beliau menyertai perhimpunan itu sebagai solidariti dengan orang Arab.

“Kami menuntut pembunuhan beramai-ramai oleh kerajaan Israel di Gaza dihentikan dan perang ke atas Gaza ditamatkan,” katanya. – AFP

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.