Peruntukan Bina Jambatan Kg. Mansiang sudah ada – Flovia
.. Dokumentasi tender pilih kontraktor diperingkat akhir
Oleh DG HENRY
PERUNTUKAN membina sebuah jambatan yang merentangi sungai Mansiang sudah sudah tersedia, jelas Wakil Rakyat Tulid Flovia Ng.
“Ia dalam proses dokumentasi cabutan tender kepada kontraktor,” katanya sebagai mengulas isu tular mengenai penduduk khususnya murid-murid sekolah yang terpaksa meniti saluran paip air untuk menyeberangi sungai ke sekolah.
Banjir yang melanda kampung itu awal tahun ini melumpuhkan perhubungan penduduk, menyaksikan mereka melakukan pelbagai kaedah untuk menyeberang sungai itu.
Fakta rekod, Low River Corssing dibina merentasi sungai Mansiang sebagai laluan penduduk untuk menyeberangi sungai yang airnya cetek ketika normal tetapi tidak dapat dilalui semasa banjir.
Flovia berkata, kemelut tersebut berlaku sejak sebelum beliau dipilih sebagai Wakil Rakyat.
“Masalah ini berlaku sejak sekian lama,” Katanya dan memberitahu, hanya selepas dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tulid, beliau meletakkan kemelut itu sebagai keutamaan tugasan.
“Awal Januari lalu saya telah melawat ke lokasi ini dan memberitahu penduduk untuk menggunakan peruntukan khas ADUN Tahun 2022 bagi membiayai projek bina baharu sebatang jambatan gantung,”.
“Saya tidak pernah janji untuk membinanya pada bulan April, tetapi memberitahu mereka (penduduk) pada tahun ini (2022),”
“Saya telah lakukan pelbagai kaedah untuk mendapatkan peruntukan, dan pada 23 Jun 2022 lalu peruntukan telah diperoehi daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar,”.
“Dokumentasi tender diperingkat akhir pada ketika ini .. saya mohon penduduk supaya bersabar untuk seketika,” katanya.
Flovia yang merupakan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Sabah menasihatkan orang ramai agar tidak menjadikan kemelut yang tular itu sebagai bahan untuk mencemu pemimpin dan kerajaan.
“Untuk makluman, saya telah melakukan yang terbaik untuk rakyat .. saya telah berusaha bersungguh-sungguh menjalankan tugas sebagai wakil rakyat .. kekangannya ialah setiap perancangan mengambil masa untuk selesai,” tambahnya.
Flovia meminta pemimpin di peringkat kampung supaya berusaha untuk memberi kefahaman kepada rakyat, bukan hanya mengenai isu jambatan Kg. Mansiang tetapi merangkumi semua sudut yang berkait dengan masalah rakyat.