PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri berkuat kuasa serta-merta dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.
Kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada Rabu memaklumkan, pelantikan Ismail Sabri dapat membantu Perdana Menteri menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.
“Sebagai Menteri Kanan, beliau akan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai oleh Ismail Sabri.
“Di samping itu, Perdana Menteri bersetuju supaya Hishammuddin membantu beliau dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu memberitahu, kedua-dua pelantikan telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan berkuatkuasa serta-merta.
Tambah kenyataan itu, Ismail Sabri akan membantu Muhyiddin dalam menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat tatkala negara sedang menghadapi krisis kesihatan serta ekonomi pada masa ini.
“Pelantikan tersebut akan meningkatkan keupayaan Kerajaan Perikatan Nasional khususnya dalam menghadapi pandemik Covid-19 sekaligus memperkuatkan perpaduan dalam kalangan parti-parti yang membentuk kerajaan.
“Pejabat Perdana Menteri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ismail Sabri dan Hishammuddin atas pelantikan ini,” kata kenyataan itu.
Majlis angkat sumpah dijangka berlangsung Jumaat ini.
825 total views, 1 views today