
SEPULUH buah rumah atas air di Kampung Tanjung Aru Baru, musnah dalam kebakaran, kira-kira 7 pagi pada selasa.
Kebakaran dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak ke kediaman lain dalam tempoh singkat.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.08 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan Penampang dikerah ke lokasi kejadian sebelum tiba lima minit kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi, api didapati sedang marak sehingga memusnahkan 10 buah rumah atas air jenis tidak kekal .
“Pasukan bomba yang turut dibantu penduduk kampung berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak dan menyelamatkan sebahagian lagi rumah berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.
Api berjaya dikawal pada 7.58 pagi dan operasi memadamkan saki baki api kebakaran masih berjalan.
Affendy berkata, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
![]()