Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Polis tumpas kegiatan memperdagangkan manusia di Keningau

0

KENINGAU (Sabah, Malaysia): Polis Keningau berjaya menumpaskan kegiatan memperdagangkan manusia dengan tertangkapnya tiga orang lelaki disyaki sebagai dalang.

Ketua Polis Keningau Superintenden Polis (SUPT) Yampil Anak Garai dalam satu kenyataan memberitahu, tiga wanita termasuk seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan eksploitasi seks berjaya diselamatkan dalam beberapa serbuan di sekita Keningau pada Jumaat lalu.

Mengesahkan kenyataan itu ketika dihubungi lewat petang pada Ahad,  Yampil memberitahu, mangsa yang diselamatkan  seorang kanak-kanak berumur 12 tahun, wanita 19 tahun dan 30 tahun.

Katanya, suspek yang diberkas berusia 44 tahun disyaki menjadi “runner” dan “transporter” untuk menghantar mangsa kepada pelanggan yang melanggan perkhidmatan seks.

“Dua lagi suspek yang lain berperanan untuk mencari pelanggan kepada mangsa melalui aplikasi media sosial,”. Katanya.

Yampil memberitahu modus operandi semua suspek ialah menjadikan satu kawasan sebagai transit untuk mengelak kegiatan mereka daripada dihidu oleh pihak berkuasa dan bergerak dari satu tempat ke tempat lain iaitu menggunakan inap desa atau hotel sebagai tempat beroperasi.

Beliau berkata, dalam serbuan oleh Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Keningau pihaknya turut merampas sejumlah wang tunai bersama beberapa barangan dipercayai digunakan untuk aktiviti pelacuran.

Katanya, sejumlah RM785 dan tujuh telefon bimbit pelbagai jenama dan beberapa keping kondom turut dirampas.

Kesemua suspek direman sehingga tujuh hari untuk siasatan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 12/14 Akta Anti Pemerdagangan Orang (ATIPSOM) 2007.

(RALAT: Kesilapan susunan istilah pangkat dan ejaan nama Ketua Polis Daerah Keningau melalui terbitan terdahulu. Pangkat dan ejaan yang sebenarnya ialah Superintenden Polis (SUPT) Yampil Anak Garai. Meja editor memohon kemaafaan diatas kesilapan yang tidak disengejakan). 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.