Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Penyampai radio Filipina maut ditembak

0

MANILA: Seorang penyampai radio maut ditembak di dalam studionya di Filipina, hari ini, kata polis.

Ia merupakan insiden terbaharu dalam senarai panjang wartawan yang terkorban di negara itu.

Ketua polis perbandaran Calamba, Kapten Deore Ragonio berkata, ketika kejadian, Juan Jumalon, 57, berada di stesen radio terletak di rumahnya di pulau selatan Mindanao apabila seorang lelaki bersenjata menembak mangsa di kepala.

Menurut Kesatuan Wartawan Kebangsaan, Jumalon merupakan wartawan keempat dibunuh sejak Presiden Ferdinand Marcos memegang jawatan pada Jun 2022.

Insiden itu mengundang kecaman kumpulan media dan aktivis yang menyifatkan pembunuhan berkenaan sebagai tamparan kepada kebebasan akhbar.

Filipina mempunyai salah satu persekitaran media paling liberal di Asia, tetapi kekal sebagai tempat paling berbahaya di dunia untuk wartawan, malah pembunuhnya sering terlepas hukuman.

Penyampai radio di luar wilayah sering menjadi sasaran.

Jumalon menggunakan nama “DJ Johnny Walker” di stesen 94.7 Gold FM Calamba, yang menggunakan bahasa Cebu.

Ragonio berkata, pihaknya sedang menyiasat motif pembunuhan itu dan tidak mengetahui sebarang ancaman nyawa terhadap Jumalon sebelum ini.

“Beliau banyak membuat laporan mengenai peristiwa semasa dan tidak diketahui sama ada pernah mengkritik sesiapa dalam siarannya,” katanya.

Siaran itu juga boleh diikuti laman Facebook stesen berkenaan, yang mempunyai 2,400 pengikut.

Sementara itu, Marcos mengecam pembunuhan Jumalon dan mengarahkan pihak berkuasa mengheret pelaku ke muka pengadilan.

“Serangan ke atas wartawan tidak boleh diterima sama sekali dalam demokrasi negara ini.

“Malah, pihak yang mengancam kebebasan akhbar akan berdepan akibat buruk disebabkan tindakan mereka,” katanya dalam kenyataan. – AFP

 

 472 total views,  4 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.