KESEMUA 1,866 pusat mengundi membabitkan 3,555 saluran bagi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak, ditutup tepat jam 5 petang tadi, kecuali beberapa saluran di kawasan pedalaman ditutup lebih awal berikutan bilangan pengundi yang kecil.
Maklumat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 52 peratus daripada 1,213,769 pengundi telah keluar menunaikan tanggungjawab itu, setakat jam 3 petang.
Sebelum ini, SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi ialah 70 peratus.
Sebanyak 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertanding membabitkan seramai 349 calon mewakili 10 parti, selain 30 calon Bebas.
Proses pengiraan undi bermula sejurus ia dibawa ke pusat penjumlahan undi.
Keputusan pertama dijangka diketahui seawal jam 6 petang ini, dengan SPR menjangka proses penjumlahan selesai kira-kira jam 10 malam.
Dewan Undangan Negeri Sarawak bubar berkuat kuasa 3 November 2021 dan PRN12 perlu diadakan bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Sebanyak RM150 juta diguna untuk mengendalikan proses pilihan raya di negeri Kenyalang itu.