Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Rakyat Argentina turun ke jalanan pertahan naib presiden terlibat rasuah

0

BUENOS AIRES: Ribuan pengikut bekas presiden dan Naib Presiden Argentina ketika ini, Cristina Fernandez de Kirchner turun ke jalanan bagi mempertahankan pemimpin itu semalam, beberapa hari selepas dua pendakwa raya menggesa hukuman penjara 12 tahun dikenakan terhadapnya, atas dakwaan rasuah semasa pentadbiran.

Pendakwa raya Isnin lalu menuduh Fernandez de Kirchner menipu negara dan terbabit dalam skim untuk mengalihkan dana awam semasa menjadi presiden antara 2007 dan 2015.

Demonstrasi terbesar itu berlaku di luar rumah naib presiden itu di kejiranan elit di Buenos Aires, Recoleta, di mana polis pada awal pagi, memasang pagar bagi menghalang perhimpunan besar.

Pada sebelah petang, penunjuk perasaan yang mendakwa Fernandez de Kirchner ialah mangsa penganiayaan kehakiman dan pagar yang didirikan Datuk Bandar pembangkang Buenos Aires sebagai provokasi, bertindak merobohkan sekatan itu serta bertempur dengan polis.

Trak pili bomba digunakan untuk cuba menyuraikan orang ramai dengan pancuran air.

Media tempatan melaporkan, lima pegawai polis cedera dan empat penunjuk perasaan ditahan.

“Hari ini, saya bangun dengan sudut rumah saya benar-benar terkepung. Mereka mahu mengharamkan demonstrasi kasih sayang dan sokongan yang benar-benar aman serta menggembirakan, yang diadakan bagi berdepan penganiayaan oleh badan kehakiman, yang sudah tidak dapat dinafikan,” kata Fernandez de Kirchner melalui Twitternya.

Sebagai tanda sokongan, Presiden Alberto Fernandez berkongsi mesej itu di akaun Twitter miliknya.

Fernandez de Kirchner mengetuai sayap paling tegar dalam gabungan Peronis berhaluan kiri, yang mentadbir Argentina sejak akhir 2019.

Keputusan dan kemungkinan hukuman yang dikenakan ke atas beliau akan diputuskan hakim, yang mungkin mengambil masa berbulan-bulan.

Bagaimanapun, Fernandez de Kirchner boleh merayu sebarang keputusan, yang mungkin akan menangguhkan keputusan akhir selama bertahun-tahun. – REUTERS

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.