Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

ReSET SME dilancar

Tingkatkan kesedaran adaptasi ESG untuk PMKS - Ewon

0
EWON

GEORGE TOWN: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick melancarkan ReSET SME bagi meningkatkan kesedaran adaptasi amalan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini.

Beliau berkata, strategi ReSET itu akan menjadi pemangkin utama dalam melahirkan jaguh PMKS serantau yang menjadi aspirasi dalam memperkasakan Malaysia di bawah Kerangka Ekonomi MADANI.

Ewon (tiga kiri) bersama Tan Sri Benard Dompok (satu kiri) menunjukkan isyarat bagus selepas melancarkan ReSET SME

“Menjadi kukuh di peringkat serantau bermakna, PMKS kita perlu mula berfikir secara global bagi mencapai kualiti penghantaran kepada pelanggan dan pengguna dalam memenuhi keperluan semasa dan trend masa hadapan.

“Pelaksanaan strategi jangka pendek ini akan disokong oleh 225 program pembangunan PMKS yang sedang dilaksanakan oleh 12 Kementerian, 56 Agensi dan 7 Kerajaan Negeri dengan peruntukan dana sebanyak RM10.6 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Siri Kelestarian PMKS 2023: Melakar Laluan ESG untuk PMKS dan Pemadanan Perniagaan bagi industri berpertumbuhan tinggi, di Setia Spice Convention Centre, di sini, hari ini.

Ewon berkata, dalam usaha merangsang pertumbuhan PMKS yang lebih berdaya tahan, saksama dan mampan, kementeriannya melalui agensi di bawah kementerian itu SME Corp. Malaysia akan melaksanakan strategi jangka pendek ReSET.

Katanya, ia dijangka menjadi pemangkin kepada anjakan paradigma dalam pembangunan PMKS.

“Strategi ReSET ini menggariskan empat bidang kritikal iaitu, Re – reform (pembaharuan) bagi memperkukuh sokongan dasar dalam memastikan pembangunan PKS yang progresif, S – sustainability (kemampanan) bagi memastikan kesinambungan perniagaan melalui peningkatan penyertaan dalam rantaian nilai global dan penerapan amalan ESG;

“E – experts (pakar) untuk membangunkan pengurusan bakat PMKS yang merangkumi strategi tarikan, pembangunan dan pengekalan bakat dan T – technology (teknologi) bagi menggalakkan inovasi dan pengkomersilan serta penggunaan teknologi termasuk IR4.0, aplikasi digital dan e-Dagang,” jelas beliau.

Beliau berkata, sebagai tunjang kepada ekonomi negara, PMKS yang mewakili 97.4% daripada jumlah pertubuhan perniagaan di Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang amat memberangsangkan pada 2022 dengan pertumbuhan dua digit iaitu sebanyak 11.6%.

“Peningkatan pertumbuhan ini amat ketara berbanding hanya 1.3% pada tahun 2021, di mana sumbangan PMKS kepada ekonomi negara meningkat daripada RM520.0 bilion pada tahun 2021 kepada RM580.4 bilion pada tahun 2022.

“Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama KDNK PMKS iaitu sebanyak 63.6%, diikuti sektor pembuatan dan pertanian dengan masing-masing menyumbang sebanyak 21% dan 9.3%,” katanya.

Ewon berkata, nilai eksport PMKS juga terus melonjak daripada RM124.3 bilion pada tahun 2021 kepada RM144.5 bilion pada tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak RM20.2 bilion.

Namun katanya, peratus sumbangan PMKS kepada jumlah eksport menurun kepada 10.5% pada tahun 2022 (2021: 11.4%) memandangkan eksport oleh syarikat besar dan multinasional berkembang pada kadar yang lebih tinggi.

“Dalam hal ini, PMKS tempatan perlu meningkatkan pengetahuan, membuat risikan pasaran serta membina jalinan rangkaian (networking) dalam pasaran eksport yang disasarkan.

“PMKS perlu menjadi sebahagian daripada rantaian perniagaan global supaya boleh kekal relevan untuk masa yang lama,” katanya.

Dari segi pasaran pekerja pula, katanya, PMKS menggaji seramai 7.59 juta pekerja, iaitu peningkatan sebanyak 3.8% kepada 48.2% pada tahun 2022, berbanding 47.8% pada tahun 2021.

“Sementara itu, produktiviti pekerja PMKS juga telah bertambah baik dengan mencapai nilai RM76,433 bagi setiap pekerja berbanding RM71,089 bagi setiap pekerja pada tahun sebelumnya.

“Ini menunjukkan pentingnya PMKS tempatan dalam membangunkan ekonomi negara. Tambahan pula, dengan kemajuan dunia tanpa sempadan, PMKS boleh memanfaat kelebihan teknologi dan pendigitalan supaya terus kekal relevan untuk jangka masa yang lama,” katanya.

Katanya lagi, pemulihan dan pembangunan PMKS dijangka terus kukuh pada tahun ini sekiranya PMKS bersedia menghadapi sebarang kejutan masa depan demi memastikan kelangsungan perniagaan.

 408 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.