Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

RM1.1 Juta Lonjak Pembangunan Kampung Kiau: Kerajaan Perkukuh Infrastruktur dan Pendidikan

0

KOTA BELUD (Sabah, Malaysia), 9 Ogos 2025 – Kampung Kiau di Kota Belud menerima suntikan pembangunan berimpak tinggi apabila Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan RM1.1 juta untuk merealisasikan projek Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata peruntukan ini merangkumi RM1 juta bagi tujuh projek infrastruktur kecil di beberapa zon kampung, manakala RM100,000 lagi diperuntukkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kiau) untuk pembangunan sekolah.

“Kampung Angkat Madani di Kiau melibatkan kerja menaik taraf jalan perumahan, jalan pertanian, kemudahan awam, pembinaan parit, culvert ke kawasan perkuburan, serta sistem perparitan komuniti,” katanya pada Majlis Penyerahan Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani di Dewan Tamu Desa Kampung Kiau.

Antara projek tersenarai termasuk:

  • Naik taraf jalan padang, dewan, klinik, dan balai raya di Kampung Kiau Nuluh.
  • Pembinaan parit di Zon Tebobon dan Hongkung.
  • Jalan dan culvert ke kawasan perkuburan di Kampung Kiau Taburi.
  • Jalan komuniti dan sistem perparitan di Zon Tomoduh, Kampung Kiau Bersatu.

Sekolah Angkat Madani SK Kiau menerima perhatian istimewa daripada Ewon yang merupakan bekas murid sekolah tersebut.

“SK Kiau ialah sekolah angkat saya. Saya membesar di sini dan bersekolah dari Darjah 1 hingga Darjah 6. Peruntukan ini diharap dapat memenuhi keperluan infrastruktur sekolah sambil memberi manfaat kepada seluruh komuniti,” katanya.

Selain memperkukuh kemudahan asas, Ewon menggesa penduduk memanfaatkan kekayaan sumber alam kampung — khususnya dalam sektor pertanian, pelancongan, dan koperasi — untuk melonjakkan lagi ekonomi setempat.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Noor Affifah Abdul Razak, serta pemimpin masyarakat setempat.

Kampung Kiau, yang terkenal sebagai pintu masuk ke kawasan pelancongan Gunung Kinabalu, diyakini bakal mendapat suntikan nafas baharu melalui gabungan pembangunan infrastruktur, pendidikan, dan aktiviti ekonomi komuniti yang mampan. – Oleh: ROSANNA EDEZA

 

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.