Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Ronald Kiandee Dilantik Ketua Bersatu dan Pengerusi PN Sabah

0

PETALING JAYA: Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee dilantik sebagai Ketua Bersatu Sabah dan juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri itu.

Perkara itu diumumkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin susulan Ketua Bersatu Sabah yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor bersama pemimpin tinggi lain mengumumkan keluar parti, semalam.

Muhyiddin berkata, Ahli Parlimen Beluran itu akan bertanggungjawab menyelia dan menguruskan BERSATU Sabah serta PN Sabah sehingga penyusunan semula BERSATU dan PN negeri itu diputuskan  Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU serta Majlis Tertinggi (MT) PN.

Walaupun kecewa dengan tindakan sekumpulan wakil rakyat diketuai Hajiji keluar BERSATU Sabah, Muhyiddin menegaskan BERSATU Sabah kekal wujud dan tidak lumpuh sebagaimana didakwa, kerana ia masih didukung sejumlah ahlinya yang terus setia bersama perjuangan parti.

“Saya kecewa dengan sikap mantan kepimpinan BERSATU Sabah tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti yang telah meletakkan mereka pada kedudukan tinggi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu. Lebih-lebih lagi, kemenangan mereka dalam PRN lalu adalah atas logo PN.

“Saya percaya ahli BERSATU di Sabah yang setia dengan perjuangan parti akan terus kekal dalam BERSATU yang merupakan parti komponen PN pada peringkat Persekutuan.

“Kedudukan BERSATU Sabah kekal wujud serta berfungsi walaupun mantan Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan pengikutnya mengumumkan keluar parti,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, pemimpin BERSATU Sabah meliputi empat Ahli Parlimen dan 15 ADUN, mengumumkan keluar parti selepas mempertimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di negeri itu.

Hajiji ketika mengumumkan perkara berkenaan memaklumkan, mereka akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu tetapi buat masa ini, mereka secara kolektif menjadi ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Bagaimanapun, tindakan itu mencetuskan polemik berhubung status wakil rakyat daripada BERSATU Sabah terbabit yang bertanding menggunakan logo GRS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ia berikutan undang-undang melarang wakil rakyat bertukar parti sudah dikuatkuasakan pada peringkat Persekutuan.

Mengulas lanjut mengenai kedudukan empat Ahli Parlimen yang keluar BERSATU Sabah itu, Muhyiddin berkata, ia akan ditentukan mengikut peruntukan dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

“Mengenai kedudukan empat Ahli Parlimen BERSATU yang bertanding menggunakan logo GRS pada PRU-15, ia akan ditentukan berdasarkan undang-undang antilompat parti  mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

 

 588 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.