
KOTA KINABALU, (Sabah, Malaysia), 23 Okt 2025 — Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) hari ini menjadi syarikat pertama dari Sabah dilantik sebagai anchor di bawah Program Pembangunan Vendor (PPV) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), satu langkah dilihat memperkukuh penyertaan syarikat Bumiputera dalam rantaian bekalan industri tenaga negara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata melalui penyenaraian sebagai syarikat anchor, Sabah Electricity layak untuk menerima vendor tempatan yang seterusnya akan diberikan sokongan kewangan sehingga RM1.2 juta setiap syarikat vendor bagi tujuan pembangunan kapasiti, inovasi dan pengkomersialan.
“Sabah Electricity kini menjadi syarikat anchor ke-39 di bawah PPV. Pelantikan ini mencerminkan pendekatan baharu KUSKOP melalui Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara, yang memfokuskan pembangunan keusahawanan di Sabah dan Sarawak,” kata Ewon selepas merasmikan Sabah Electricity Vendor Day 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC).
Beliau mendedahkan bahawa kementerian sedang dalam peringkat akhir perbincangan dengan Sarawak Energy, yang dijangka menjadi syarikat anchor pertama dari Sarawak dan anchor ke-40 di bawah program tersebut.
MoU yang dimeterai membolehkan vendor Bumiputera berdaftar dengan Sabah Electricity mengakses bimbingan teknikal, latihan, khidmat nasihat perniagaan, serta dana penyelidikan dan pengkomersialan melalui Program Pembangunan Kapasiti Vendor (PPKV) dan Geran Penyelidikan dan Pengkomersialan Vendor (GPPV).
Menurut Ewon, sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12, sebanyak tujuh syarikat Bumiputera dari Sabah telah menerima manfaat melalui dua skim tersebut sebagai vendor kepada lima syarikat anchor sedia ada.
Untuk Rancangan Malaysia Ke-13, KUSKOP menyasarkan 120 syarikat vendor Bumiputera di seluruh negara, termasuk 15 syarikat dari Sabah, untuk menerima geran melalui PPV.
Sabah Electricity turut layak menerima insentif potongan cukai dua kali ganda (double deduction) bagi perbelanjaan yang berkaitan dengan pembangunan vendor, selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan kebolehsaingan industri strategik tempatan.
“KUSKOP komited memperkasa Sabah dan Sarawak sebagai pemacu pertumbuhan baharu ekonomi Malaysia, memastikan usahawan tempatan bukan sahaja berdaya tahan tetapi juga mampu menembusi pasaran nasional dan serantau,” kata Ewon.
Majlis pemeteraian turut dihadiri Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi Sabah Electricity, Saadiah Aziz, serta pegawai kanan kementerian dan industri.
![]()