KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia) — Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri pimpinannya akan bekerjasama dengan kerajaan pusat di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-8, Muhyiddin Yassin demi untuk rakyat sekalipun sokongan terhadap bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad tidak berubah.
Ketua Menteri Sabah itu berkata, kerjasama melalui kerajan dengan kerajaan ((G-To-G) yang sedia diamalkan itu bertujuan bagi memastikan Sabah dan rakyatnya terus menikmati manfaat dari segi pembangunan dan bidang lain, termasuk kesihatan, pendidikan dan keselamatan.
“Selepas mesyuarat dengan semua Adun dan Ahli Parlimen Sabah yang mengambil masa 45 minit, pendirian kami ialah terus menyokong Mahathir,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini sambil mendapat sorakan daripada semua wakil rakyat di pejabatnya.
Perjumpaan itu dihadiri kesemua 43 ADUN dalam kerajaan negeri Sabah kecuali ADUN Bugaya. Turut hadir adalah Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Wilfred Madius Tangau, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah Datuk Christina Liew dan Pemangku Pengerusi DAP Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung.
“Saya harap beliau (Muhyiddin) faham. Saya tidak menentangnya kerana beliau ialah kawan saya dan sudah lama bersama kami,” kata Shafie yang juga presiden Warisan.
Menurut Mohd Shafie walaupun Sabah negeri pembangkang, perundingan dengan kerajaan persekutuan itu masih boleh dijalankan kerana Sarawak ketika negeri itu tidak ada hubungan politik dengan kerajaan persekutuan, pemimpin negeri itu (Sarawak) masih menghadiri mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri serta terlibat dalam rundingan Perjanjian Malaysia 1963.
Katanya kedudukan Sabah sebagai negeri pembangkang perlu difahami dalam konteks Malaysia kerana Malaysia bukan hanya terdiri daripada Semenanjung sahaja tetapi merangkumi Sabah dan Sarawak.
“Jadi perlu ada perundingan bagaimana tentang hak-hak yang telah dijanjikan, yang seharusnya ditunaikan,” katanya.
Mengenai tuntutan royalti minyak, Mohd Shafie berkata ia akan diteruskan kerana belum ada kata putus berhubung rundingan kerajaan negeri dan persekutuan serta Petronas berhubung perkara itu.