Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Semak dengan Suruhanjaya Koperasi sebelum sertai pelaburan: Ewon

0

PENAMPANG: Orang ramai khususnya koprator diingatkan agar sentiasa membuat semakan dengan pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebelum menyertai sebarang pelaburan yang diiklankan atas nama koperasi.

Peringatan itu diberikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, dengan menegaskan, semakan kepada pihak berkuasa penting bagi mengelakkan kekeliruan dan menghindari daripada menjadi mangsa penipuan pelaburan yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

“Saya ingin memberi ingatan kepada semua rakyat Malaysia supaya merujuk terlebih dahulu kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) atau SKM sekiranya ada iklan-iklan pelaburan oleh mana-mana koperasi.

“Dapatkan maklumat terlebih dahulu daripada SKM, sama ada pelaburan itu mendapat perlesenan yang diperlukan atau sebaliknya.

“Ini kerana kita di bawah undang-undang SKM, mana-mana koperasi yang mengiklankan pelaburan mereka harus mendapat kelulusan daripada SKM terlebih dahulu katanya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan PPDK Penampang 2025, di Dewan Perpustakaan Penampang, di sini, pada Jumaat..

Mengulas laporan berkaitan promosi pelaburan oleh koperasi, Ewon berkata: “Maklumat itu masih belum sampai kepada saya, tetapi saya akan minta Kementerian dan bahagian koperasi, khususnya SKM, untuk mengemukakan laporan terperinci”.

Beliau turut menggesa orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan, terutamanya yang dipaparkan di media sosial tanpa rujukan sah.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menghubungi pejabat SKM yang terdapat di setiap negeri dan daerah untuk mendapatkan maklumat sahih.

“Maklumat perhubungan SKM tidak sukar untuk didapati, layari laman web rasmi SKM atau terus ke pejabat mereka. Ini penting supaya kita tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Ewon turut menegaskan bahawa, mana-mana koperasi yang berdaftar tetapi didapati membuat pelaburan yang tidak diluluskan akan diambil tindakan tegas.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.