Nahas Air India: Doktor wanita sanggup berhenti kerja untuk hidup bersama suami, tiga anak di London tak kesampaian

NEW DELHI: Sebuah keluarga yang menaiki penerbangan Air India yang terhempas semalam, sempat merakam sekeping gambar swafoto penuh kegembiraan, beberapa jam sebelum nahas tragis menimpa mereka.
Ia gambar kenangan pasangan suami isteri bersama tiga anak kecil mereka yang baru saja hendak memulakan kehidupan baru bersama di United Kingdom (UK).
Mereka kelihatan teruja untuk memulakan kehidupan baru bersama di London, setelah Dr Komi Yvas dikatakan sanggup berhenti kerja sebagai pakar perubatan di sebuah hospital dekat Udaipur, India, semata-mata mahu menyertai suaminya, Dr Pratik Joshi di London.
Menurut laporan stesen televisyen tempatan NDTV, Dr Yvas baru saja meletak jawatan sebagai doktor di hospital berkenaan, dua hari sebelum pesawat dinaiki keluarga itu ditimpa nasib malang.
Impian untuk hidup bersama dengan tiga anak mereka iaitu Nakul dan Pradyut, pasangan kembar berumur 5 tahun dan anak perempuan mereka, Miraya, 6, bagaimanapun tidak kesampaian.
Tiada siapa sangka detik gembira yang dirakam atas pesawat berkenaan tidak kekal lama ekoran kemalangan yang berlaku.
Semalam, semua 242 penumpang dan anak kapal dalam pesawat Air India yang terhempas sejurus setelah berlepas dari bandar Ahmedabad, India, disahkan maut,
Nahas tragis itu membabitkan penerbangan menuju ke London, United Kingdom (UK).
Pesawat Boeing 787 Dreamliner itu membawa 169 warga India, Britain (53), Portugal (tujuh) dan seorang warga Kanada tatkala ia terhempas di kawasan perumahan berhampiran Lapangan Terbang Ahmedabad di negeri Gujarat. – AGENSI
![]()