Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Seorang Mangsa Bot Karam Di Tenom Ditemui

0

SEORANG daripada dua mangsa bot karam di Sungai Padas pada Rabu ditemui kira-kira jam 4.45 petang pada Khamis.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri (PPON), Misran Bisara mengesahkan penemuan seorang kanak-kanak berumur 12 tahun, dikenalpasti sebagai Melvin Junaidi.

Mangsa ditemui oleh sekumpulan orang awam yang diketuai oleh Wakil Rakyat Melalap Datuk Peter Anthony di Batu 60 Beaufort (Sabah), 33km dari lokasi kejadian.

Misran berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bot karam di Kampung Kalandos Pangi bersama-sama agensi bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) ditangguhkan pada jam 5 petang (Khamis),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Operasi SAR akan disambung keesokan hari (Jumaat) untuk mencari seorang lagi mangsa yang masih belum ditemui iaitu Joseph Sayah, 55.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam kejadian jam 4 petang pada Rabu, kedua-dua mangsa dilaporkan hilang, selepas bot dinaiki mereka karam, manakala dua lagi mangsa terselamat selepas selesai membeli barangan keperluan di pekan Tenom.

Bot yang dinaiki dikatakan tiba-tiba terbalik disebabkan arus deras ketika cuba menyeberangi sungai berkenaan.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.