Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

SME Bank Xcess 2025 Lonjak PMKS Malaysia ke Pasaran Global

0

KUALA LUMPUR, 25 September 2025 – SME Bank Xcess 2025 muncul sebagai pemangkin utama usaha Malaysia memperluas penguasaan PMKS ke pentas antarabangsa, dengan menghimpunkan lebih 500 syarikat tempatan dan 20 pembeli global dalam satu platform strategik yang menekankan padanan perniagaan, jaringan kerjasama serta peluang eksport bernilai tinggi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick, menegaskan bahawa kementerian di bawah Kerajaan MADANI sentiasa komited memperkukuh daya saing PMKS agar dapat melangkah lebih jauh ke pasaran dunia.

“Sebagai salah satu kementerian di bawah Kerajaan MADANI, kami menaruh harapan agar lebih banyak PMKS memanfaatkan platform seperti SME Bank Xcess 2025. Dengan sokongan kewangan, kerjasama strategik dan peningkatan kapasiti, usahawan tempatan diyakini mampu mencipta impak lebih besar – bukan sahaja dari segi keuntungan perniagaan, tetapi juga dalam memperkukuh kedudukan ekonomi Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya ketika merasmikan SME Bank Xcess 2025, di sini, hari ini.

Beliau menambah, Malaysia kini berada pada landasan pemulihan kukuh dengan sektor PMKS mencatatkan pertumbuhan 5.8 peratus pada 2024, sekali gus menyumbang 39.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagi mengukuhkan penguasaan pasaran eksport, KUSKOP telah merangka pelbagai inisiatif khusus termasuk Business Exports Programme (BEP), Program Jaguh Serantau, Program Galakan Eksport Bumiputera (GEB) serta Program Rantaian Glokal (GLoSMEP).

Melalui BEP yang dibiayai KUSKOP dengan peruntukan RM21.5 juta sejak 2020, sebanyak 98 PMKS berprestasi tinggi telah diperkasa dengan latihan berstruktur dan strategi pasaran, menghasilkan nilai eksport mencecah RM419 juta ke rantau Asia Tenggara, Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, Program Jaguh Serantau telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM173.24 juta kepada 19 syarikat sehingga Oktober 2024, bagi memperkukuh keupayaan PMKS Bumiputera menembusi pasaran serantau.

Di bawah Program GEB pula, sehingga Oktober 2024, seramai 247 PMKS mendapat manfaat, termasuk 10 usahawan yang menerima geran bernilai RM1.51 juta, manakala 237 lagi mengikuti latihan intensif berkaitan eksport.

Manakala GLoSMEP telah membuka ruang kepada 260 PMKS tempatan untuk menyertai 373 sesi pemadanan perniagaan bersama syarikat anchor, dengan potensi jualan berjumlah RM42.5 juta.

Selain itu, agensi-agensi di bawah KUSKOP seperti TEKUN Nasional, Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) turut menyalurkan lebih RM9.6 bilion dalam bentuk pembiayaan dan geran kepada lebih 300,000 usahawan di seluruh negara sepanjang 2024.

Menurut Ewon, kejayaan pelbagai inisiatif ini membuktikan pendekatan menyeluruh kerajaan dalam membina ekosistem usahawan MADANI yang inklusif, berdaya tahan dan berorientasikan pertumbuhan global.

Majlis peluncuran itu turut dihadiri Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud; Pengerusi SME Bank, Dato’ Muslim Hussain; serta Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Kewangan SME Bank, Samad Majid Zain Abdul Majid.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.