Oleh ROSANNA EDEZA
KENINGAU (Sabah, Malaysia): Pasangan suami isteri yang kedua-duanya mempunyai kes jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah ditangkap polis kerana disyaki mendera dua kanak-kanak lelaki berusia lima dan 13 tahun.
Kedua-dua mangsa didapati didera secara fizikal menggunakan seterika, batang besi, sudu panas dan air panas sehingga mengalami kesan lecur di beberapa bahagian badan di sebuah rumah sewa mereka di bandar Keningau.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Garai berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun kira-kira jam 12 tengah hari pada Khamis yang mengsyaki mangsa telah didera.
Katanya, pengadu pada selasa lalu dia didatangi oleh seorang remaja di sebuah kedai snooker dengan keadaan badannya terdapat kesan-kesan luka dan lecur.
Susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan terhadap suspek iaitu penjaga kepada mangsa, seorang lelaki berusia 27 tahun berbangsa Suluk dan isterinya yang berusia 36 tahun berbangsa Bajau dimana kedua-duanya peniaga burger ditahan untuk siasatan lanjut.
“Kedua-dua mangsa tidak ada pertalian saudara dengan pasangan suami isteri tersebut. Mangsa remaja merupakan anak tiri kepada wanita iaitu anak kepada bekas suaminya terdahulu yang dipenjara atas kesalahan dadah,”.
“Mangsa remaja itu dijaga oleh ibu tirinya, tetapi telah berkahwin semula dengan suspek lelaki. Pasangan itu juga telah mengambil seorang kanak-kanak untuk dijadikan sebagai anak angkat mereka,” katanya.
Siasatan lanjut masih dijalankan dan kedua-dua suspek dirujuk mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.