Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Tragedi Krismas, dua beranak maut kemalangan jalan Kimanis – Keningau

0
Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit . Fota Ihsan BOMBA

HASRAT sekeluarga untuk bercuti sempena perayaan Hari Krismas tidak kesampaian apabila dua daripada enam anggota keluarganya maut dalam kemalangan di Jalan Kimanis – Keningau (Sabah, Malaysia) pada Jumaat.

Tragedi menyayat hati itu berlaku  kira-kira jam 2 petang waktu tempatan, menyaksikan mangsa, Deny Rizlin William,36, dan anaknya, Daphne Dale yang berusia sembilan tahun maut di lokasi kejadian.

Sekeluarga yang menaiki sebuah  kenderaan Vigo itu dipercayai dari ibu negeri (Kota Kinabalu, Sabah) bertembung dengan sebuah lori tiga tan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Mohd. Johainin Ruslan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.14 petang dan dua pasukan pegawai dan anggota dari BBP Kimanis dan BBP Papar dikerahkan ke lokasi kejadian.

Semasa tiba di lokasi, didapati terdapat enam mangsa terlibat dan ada mangsa yang tersepit dalam kemalangan berkenaan.

Anggota bomba kemudian membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dan memberi rawatan awal kepada yang cedera.

“Dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan manakala seorang lagi, Daryleen Chilap,13, cedera parah.

“Sementara itu, seorang mangsa, Daniela Dale,6; serta datuk mereka, William Ngilo,61, dan pemandu lori iaitu Imran Turimin, 43, mengalami cedera ringan.

“Keluarga yang menaiki Vigo itu dalam perjalanan dari ibu negeri menuju ke daerah pedalaman dipercayai bercuti sempena sambutan Krismas sebelum kenderaan mereka bertembung dengan lori tersebut,” katanya ketika dihubungi, dan menambah jabatannya sukar memperolehi maklumat terperinci ketika kesemua mangsa dalam situasi trauma.

Beliau berkata, mangsa maut diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan lanjut manakala, mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital Queen Elezeberth Kota Kinabalu dengan menaiki kenderaan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kesihatan (EMRS) dan ambulans.

Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 4.25 petang. – Oleh: DG HENRY, EKOK AMIN dan ROSANNA EDEZA

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.