BANGKOK: Thailand bersetuju untuk meminda undang-undang bagi membenarkan pasangan warga asing mendapatkan perkhidmatan ibu tumpang di negara itu, kata seorang pegawai kanan kesihatan semalam.
Pada 2015, Thailand memperkenalkan peraturan ketat bagi mengawal perkhidmatan ibu tumpang dan mengharamkan proses untuk pasangan asing selepas beberapa skandal berprofil tinggi membawa kepada tindakan keras terhadap industri ‘sewaan rahim’ di negara itu.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Sokongan Perkhidmatan Kesihatan, Arkhom Praditsuwan, pihaknya akan meminda undang-undang bagi membolehkan pasangan asing menerima perkhidmatan ibu tumpang dengan mematuhi undang-undang.
“Mereka yang layak perlu berkahwin secara sah, tanpa mengira jantina mereka, dan anak daripada ibu tumpang mesti dijamin perlindungan dan hak di negara asal pasangan itu.
“Pasangan warga asing akan dibenarkan membawa wakil sendiri atau menggunakan wakil di Thailand dan mereka yang menjalani proses terbabit perlu melepasi tapisan oleh jawatankuasa kerajaan,” katanya.
Menurut Arkhom, pindaan undang-undang yang dicadangkan akan dikemukakan untuk kelulusan Kabinet akhir bulan ini sebagai sebahagian daripada reformasi peraturan yang lebih luas mengenai ibu tumpang, persenyawaan in-vitro dan penghamilan buatan.
Ini untuk membolehkan rakyat Thailand, termasuk pasangan sejenis mendapat akses yang lebih luas kepada perkhidmatan terbabit, sekali gus dapat meningkatkan sektor pelancongan perubatan di negara itu.
Sekiranya Kabinet meluluskan pindaan undang-undang berkenaan, perkara itu akan dibawa ke Parlimen dan Senat untuk dipertimbangkan.
Pada 2015, Thailand hanya membenarkan perkhidmatan ibu tumpang dikawal oleh jawatankuasa kerajaan, untuk pasangan warga Thailand atau warga Thailand yang telah berkahwin dengan warga asing sekurang-kurangnya tiga tahun serta mereka yang menghadapi kesukaran untuk mempunyai anak. – REUTERS