LONDON: Tottenham semakin kerap melakukan kebangkitan lewat permainan di laman sendiri dan skuad kendalian Ange Postecoglou mengulanginya dengan menewaskan Palace 3-1.
Sepakan percuma Eberechi Eze meletakkan The Eagles di hadapan pada minit ke-60, namun Timo Werner kembali menyamakan kedudukan buat Spurs.
Cristian Romero kemudian meletakkan Spurs di depan sebelum Son Heung-min memastikan tiga mata dan kekalahan pertama buat pengendali baharu Palace, Oliver Glasner.
“Kegigihan, kualiti dan keyakinan. Reaksi pemain-pemain sangat menakjubkan,” kata Postecoglou.
Spurs kekal lima mata di belakang penghuni tangga keempat, Aston Villa yang memerlukan jaringan lewat permainan Lucas Digne untuk menewaskan Luton 3-2.
Ollie Watkins meledak dua kali untuk Villa dalam tempoh 38 minit pertama dan melebarkan jaringannya kepada 21 gol musim ini.
Newcastle mengekalkan misi Eropah mereka dengan kemenangan pertama di laman sendiri sejak tiga bulan lalu dan melonjak ke tangga kelapan liga.
The Magpies menewaskan Wolves 3-0 hasil jaringan Alexander Isak, Anthony Gordon dan Tino Livramento.
Brighton terus tercicir daripada kelayakan Eropah apabila tewas 3-0 di Fulham.
Everton kekal dalam persaingan di zon penyingkiran walaupun hukuman pemotongan 10 matanya dikurangkan kepada enam minggu ini.
West Ham bangkit merakam kemenangan 3-1 di Goodison Park untuk naik ke tangga ketujuh. – AFP