Oleh Mohd Khairy Abdullah @ DG Henry
TENOM (Sabah, Malaysia), 8 Sept – Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal sekali lagi mencetuskan gelombang kontroversi apabila menyifatkan kaum Murut sebagai “kafir” dalam ucapannya di Melalap semalam, sehingga menimbulkan kemarahan dan rasa kesal mendalam masyarakat setempat.
Kenyataan itu dianggap sebagai penghinaan terbuka terhadap identiti serta kedudukan kaum Murut, malah dikhuatiri mampu mencetuskan sentimen perkauman yang mengugat keharmonian rakyat Sabah.
Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Tenom, Junik Bajik menegaskan alasan Shafie kononnya hanya “tersasul” tidak boleh diterima dan langsung tidak memadai untuk menutup kesilapan besar yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
“Ucapan terbuka seumpama itu amat menyinggung perasaan masyarakat Murut. Bahkan, kaum bumiputera bukan Islam lain juga turut melihatnya sebagai penghinaan yang mencabar maruah mereka. Lebih mengecewakan, ini bukan kali pertama beliau mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap kaum lain di Sabah,” katanya.
Junik mengingatkan kembali kontroversi lalu apabila Shafie pernah mengeluarkan kenyataan “tiada satu ekor Cina dalam kabinet”, yang ketika itu menimbulkan kemarahan masyarakat Tionghua.
“Pengulangan kenyataan jelik ini jelas memperlihatkan sikap tidak sensitif terhadap kepelbagaian etnik yang menjadi asas keharmonian Sabah. Tindakan sebegini wajar dikecam keras kerana ia mampu menyalakan api perpecahan dan menggugat perpaduan rakyat,” tegasnya.
Sehubungan itu, Junik menggesa Shafie membuat permohonan maaf secara terbuka kepada masyarakat Murut khususnya, dan kepada seluruh rakyat Sabah serta Malaysia.
“Beliau juga harus memberi jaminan tidak lagi mengulangi kenyataan-kenyataan berbaur penghinaan yang boleh merosakkan kesejahteraan serta keharmonian negeri ini,” katanya.
![]()