Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

UPKO Keningau Siap Siaga Hadapi PRN-17 di DUN Bingkor

0

KENINGAU, 5 Sept 2025 – Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Bahagian Keningau menegaskan bahawa parti kini berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17), khususnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.40 Bingkor.

Ketua Bahagian, Datuk Dr. Laurentius Nayan, berkata persiapan rapi telah lama dijalankan dengan pembentukan jentera pilihan raya yang kini bergerak di bawah pimpinan Alexius Paulus selaku Pengarah Jentera. Menurutnya, segala strategi dan pelan tindakan telah digerakkan bagi memastikan kekuatan parti di peringkat akar umbi benar-benar tersusun dan mantap.

“UPKO Keningau sudah lama bersiap sedia. Jentera kami bukan sahaja lengkap, malah telah turun ke lapangan untuk memastikan setiap peringkat masyarakat di Bingkor diberi perhatian,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Bahagian di sini pada Jumaat.

Datuk Dr. Laurentius turut menekankan bahawa sekiranya diberikan mandat bertanding, UPKO Keningau berhasrat mengetengahkan Ketua CLC Bingkor, Kennedy John, sebagai calon. Beliau diyakini mampu menjadi wakil rakyat yang membawa suara Bingkor ke peringkat lebih tinggi dengan kepimpinan yang segar dan berwibawa.

Beliau menyeru seluruh ahli dan penyokong UPKO agar terus memperkukuh kerjasama serta menyemarakkan semangat perjuangan parti, demi memastikan kemenangan berpihak kepada rakyat Bingkor dan Keningau secara keseluruhannya.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.