KENINGAU (Sabah), 6 Sept 2025 – Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Keningau tampil dengan pendirian teguh, menyokong sepenuhnya penggunaan lambang rasmi parti pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) sebagai simbol perjuangan politik tempatan Sabah.
Ketua Pemuda UPKO Keningau, Jeffsonzo Japrin, menegaskan bahawa bertanding dengan lambang sendiri akan menjadi kelebihan strategik, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap UPKO.
“Pemuda UPKO Keningau percaya, dengan menggunakan lambang UPKO, kita mampu menawan hati rakyat dan mengembalikan keyakinan mereka kepada UPKO sebagai wadah politik tempatan dalam gabungan kerajaan yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat Sabah,” katanya.
Jeffsonzo, yang juga EXCO Pemuda UPKO Pusat, menambah bahawa penggunaan lambang sendiri bukan sahaja memperkukuh kejelasan identiti parti, malah melambangkan kesungguhan UPKO dalam memperjuangkan aspirasi masyarakat pedalaman.
“Lambang UPKO bukan sekadar tanda, tetapi manifestasi tekad untuk berdiri teguh sebagai parti tempatan yang konsisten memperjuangkan hak dan masa depan rakyat Sabah,” tegasnya.
Beliau berkata, pendirian itu turut seiring dengan suara akar umbi di Keningau dan kawasan pedalaman yang mahukan UPKO tampil dengan identiti sendiri pada PRN-17, selaras dengan tuntutan politik semasa rakyat Sabah yang kian mendambakan kepimpinan parti tempatan.
Pemuda UPKO Keningau optimis bahawa keputusan ini akan meniup gelombang semangat baharu dalam kalangan ahli dan penyokong, sekali gus memastikan UPKO terus relevan, berakar di hati rakyat, dan berdaya saing dalam lanskap politik negeri.
![]()